6 organisasi kebajikan terima sumbangan Dynamik Technologies

2 Sep 2026 - 10:24am

Siaran Akhbar dan Foto : Dynamik Technologies

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 1 September. - Dynamik Technologies baru-baru ini telah mengadakan Majlis Penyerahan Sumbangan kepada enam buah organisasi kebajikan tempatan bersempena dengan The Quest Run, iaitu larian santai dalaman yang dianjurkan sebagai sebahagian daripada Sambutan Ulang Tahun Ke-25 syarikat berkenaan.

Sumbangan tersebut disalurkan melalui Dynamik Charity Pledge, iaitu inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat syarikat yang bertujuan untuk menyokong organisasi kebajikan tempatan serta masyarakat yang memerlukan.

Penerima sumbangan pada tahun ini ialah Down Syndrome Association (ABLE), Majlis Kesejahteraan Masyarakat Brunei (MKM), Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Society for Community Outreach and Training (SCOT), Society for Management of Autism Related Issues in Training, Education and Resources (SMARTER) Brunei dan Yayasan Kanser Kanak-kanak Brunei (YASKA).

Majlis penyerahan yang berlangsung di Taman Mahkota Jubli Emas disampaikan oleh Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Awang Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof, merangkap Pengerusi Dynamik Technologies bersama Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Dynamik Technologies, Pengiran Noreen Afiza binti Pengiran Dato Paduka Haji Md. Zain.

Dynamik Charity Pledge mencerminkan komitmen berterusan Dynamik Technologies dalam menyumbang kembali kepada masyarakat serta menyokong inisiatif - inisiatif yang memberikan sumbangan positif kepada masyarakat secara keseluruhannya.