Oleh : Pg. Siti Redzaimi Pg. Haji AhmadFoto : Ihsan Urus Setia Kontinjen Negara Brunei Darussalam ke Sukan Komanwel Glasgow 2026 Ke-23
GLASGOW, SCOTLAND, Sabtu, 25 Julai. – Atlet renang Negara Brunei Darussalam, Dayang Sharmeen binti Mohamad Mharvin meneruskan saingan dalam Acara 100 Meter Kuak Lentang Wanita pada temasya Sukan Komanwel 2026 yang berlangsung di Tollcross International Swimming Centre, Glasgow.
Berangkat menyaksikan acara tersebut ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam.
Keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia mencerminkan sokongan dan keprihatinan berterusan terhadap pembangunan sukan negara serta memberi suntikan semangat kepada para atlet Brunei Darussalam yang sedang berjuang mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa
Pada acara tersebut, Dayang Sharmeen menamatkan saingan saringan dengan catatan masa 1 minit 7.80 saat sekali gus terlepas peluang untuk mara ke suku akhir.
Beraksi dalam Saringan 1 daripada 5, Dayang Sharmeen menamatkan perlumbaan tempat kedua daripada empat peserta. Catatan tersebut meletakkan beliau di kedudukan ke-30 daripada keseluruhan 35 peserta.
Meskipun tidak berjaya memperbaharui Rekod Kebangsaan miliknya, iaitu 1 minit 7.78 saat, prestasi yang dipamerkan mencerminkan komitmen dan usaha berterusan atlet negara dalam memberikan saingan di pentas antarabangsa.