Awang Mohammad Shukri dipilih sebagai Presiden Persatuan Teqball NBD

30 Og 2026 - 6:57am

Siaran Akhbar dan Foto : Persatuan Teqball Negara Brunei Darussalam

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 29 Ogos. – Awang Mohammad Shukri bin Haji Damit dipilih semula sebagai Presiden Persatuan Teqball Negara Brunei Darussalam (NBD) bagi penggal 2026 hingga 2028, sekali gus meneruskan kepimpinannya dalam menerajui persatuan kebangsaan berkenaan ketika memasuki fasa baharu pembangunan organisasi dan sukan.

Susulan pemilihan semula berkenaan, Awang Mohammad Shukri menggariskan tiga keutamaan utama yang akan menjadi panduan persatuan berkenaan bagi tempoh dua tahun akan datang.

Keutamaan pertama memberi tumpuan kepada usaha mempertingkatkan proses dalaman, pentadbiran serta tadbir urus keseluruhan persatuan. Selaras dengan perkembangan persatuan, penekanan yang lebih besar akan diberikan kepada pewujudan tatacara operasi yang lebih jelas, mempertingkat penyelarasan dalam kalangan ahli jawatankuasa, memperkukuh sistem dokumentasi serta mewujudkan pendekatan yang lebih tersusun dalam pengurusan program, pertandingan dan atlet.

Usaha berkenaan bertujuan untuk membina asas operasi yang lebih kukuh agar persatuan dapat berfungsi dengan lebih cekap dan mampan.

Sementara keutamaan kedua adalah untuk meningkatkan jumlah kejohanan Teqball kebangsaan yang dianjurkan di seluruh Negara Brunei Darussalam (NBD). Pertandingan berkenaan akan disepadukan dengan Sistem Mata Kebangsaan Brunei (Brunei National Pointing System), sekali gus memberikan lebih banyak peluang kepada para atlet untuk bertanding, mengumpul mata ‘ranking’ dan mempamerkan prestasi secara konsisten di peringkat kebangsaan.

Sistem berkenaan juga bertujuan menyediakan mekanisme yang lebih jelas dan objektif kepada persatuan dalam mengenal pasti atlet yang aktif dan berprestasi tinggi, yang berpotensi untuk mengikuti program pembangunan kebangsaan serta mewakili negara pada pertandingan antarabangsa pada masa akan datang.

Dengan menyediakan kalendar pertandingan yang lebih konsisten, persatuan turut berhasrat menggalakkan penyertaan lebih ramai atlet serta meningkatkan tahap persaingan keseluruhan sukan Teqball di NBD.

Manakala keutamaan ketiga memberi tumpuan kepada usaha menarik lebih ramai ahli yang komited untuk menyertai struktur jawatankuasa dan operasi persatuan. Seiring dengan perkembangan aktiviti Teqball, persatuan menyedari keperluan untuk mempunyai pasukan yang lebih besar bagi menyokong pelbagai bidang, termasuk pengurusan kejohanan, pembangunan atlet, pentadbiran, pengadilan, pemasaran, penajaan, media, logistik serta pembangunan akar umbi.

Persatuan berhasrat membuka lebih banyak peluang kepada individu yang berminat untuk menyumbangkan kemahiran, pengalaman dan masa mereka bagi membantu perkembangan sukan Teqball di negara ini.

Mengulas mengenai pemilihan semulanya, Awang Mohammad Shukri berkata fokus persatuan bagi tempoh dua tahun akan datang adalah untuk memperkukuh persatuan dari dalam, di samping menyediakan lebih banyak peluang kepada para atlet untuk bertanding dan berkembang.

Jelasnya lagi, persatuan mahu mempertingkat cara beroperasi, menganjurkan lebih banyak pertandingan kebangsaan yang bermakna serta membina pasukan yang lebih kukuh yang bersedia menyumbang kepada perkembangan sukan Teqball di NBD.

Beliau menambah bahawa matlamat jangka panjang persatuan kekal tertumpu kepada pembangunan ekosistem Teqball kebangsaan yang mampan, yang menyokong perkembangan atlet bermula daripada penyertaan di peringkat akar umbi sehingga ke tahap pertandingan berprestasi tinggi.

Persatuan Teqball NBD akan terus bekerjasama dengan para atlet, sekolah, organisasi sukan, pihak berkepentingan kerajaan, penaja serta masyarakat umum bagi meningkatkan penyertaan dan memperkukuh lagi kedudukan sukan berkenaan di NBD.

Dengan penggal jawatankuasa 2026 hingga 2028 kini bermula, persatuan akan mula melaksanakan keutamaan yang telah digariskan menerusi penambahbaikan proses organisasi, peluasan kalendar pertandingan kebangsaan serta penglibatan ahli jawatankuasa yang lebih kukuh.