Bomba ‘B’ juara Kejohanan Sepak Takraw Regu Terbuka

31 Og 2026 - 6:24am

Oleh : Hajah Siti Zuraihah Awang Haji Sulaiman

Foto : Azmah Haji Ahad

BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 30 Ogos. - Pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat ‘B’ (Bomba ‘B’) muncul juara pada Kejohanan Sepak Takraw Regu Terbuka sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80 Tahun, diadakan di Kompleks Sukan Sungai Kebun, di sini.

Pada perlawanan akhir tersebut, Bomba ‘B’ berjaya menewaskan Muara Spurs ‘A’ dalam dua set perlawanan yang berkesudahan 17 – 16 dan 15 – 11.

Dengan keputusan tersebut, Muara Spurs ‘A’ menyandang naib juara, manakala tempat ketiga bersama diraih oleh Majlis Sukan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (MS ABDB) ‘B’ dan Jabatan Bomba dan Penyelamat ‘A’ (Bomba ‘A’).

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan hadiah- hadiah kejohanan ialah  Ahli Majlis Mesyuarat Negara  (MMN), Yang Berhormat  Awang  Amran  bin Haji  Maidin, Penghulu  Mukim  Lumapas.

Juga hadir, Pemangku Pengarah Bomba dan Penyelamat, Awang Azmi bin Haji Hafneh; Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat, Awang Haji Nohi Irwan Surkarki bin Haji Pawi dan Presiden Persatuan Sepak Takraw Negara Brunei Darussalam, Awang Haji Mohd. Noor bin Haji Abdul Hamid.

Kejohanan tahunan anjuran  Persatuan Sepak Takraw Negara Brunei Darussalam dengan kerjasama Jabatan Daerah Brunei dan Muara itu diadakan selama dua hari bermula Jumaat, 28 Ogos lalu.

Sebanyak 24 pasukan menyertai kejohanan kali ini terdiri daripada Bomba ‘A’, Bomba ‘B’, Bomba ‘C’, Brunei Legend ‘A’, Brunei Legend ‘B’, Bru Veteran, Deno FC, JBS Skim ‘A’, JBS Skim ‘B’, Miharbi ‘A’, Miharbi ‘B’, MS ABDB ‘A’, MS ABDB ‘B’, MS ABDB ‘C’, MS ABDB ‘D’, MS Polis ‘A’, MS Polis ‘B’, MS Polis ‘C’, Muara Spurs ‘A’, Muara Spurs ‘B’, Penglima, Permata Hijau ‘A’, Permata Hijau ‘B’ dan Sengkurong.

Selain memeriahkan lagi Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80 Tahun, kejohanan berkenaan turut menjadi platform untuk mencungkil dan mengembangkan bakat serta potensi pemain dalam sepak takraw.

Penganjuran kejohanan tersebut juga diharap dapat melahirkan lebih ramai pemain berpotensi serta menyediakan barisan pelapis yang boleh diketengahkan dan diserapkan ke dalam pasukan kebangsaan pada masa akan datang.