Oleh : Saerah Haji Abdul GhaniFoto : Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman
BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 29 Ogos. - Sekolah Rendah Pintu Malim menjuarai Festival Badminton Sekolah-sekolah Rendah Brunei Darussalam Tahun 2026 bagi Kategori Unified Lelaki.
Naib juara disandang oleh Sekolah Rendah Freda Radin dan tempat ketiga bersama ialah Sekolah Rendah Pantai Berakas dan Sekolah Rendah Dato Basir.
Manakala juara Kategori Unified Perempuan pula disandang oleh Sekolah Rendah Pengiran Setia Jaya Pengiran Abdul Momin dan naib juara ialah Sekolah Rendah Dato Basir dan tempat ketiga bersama ialah Sekolah Rendah Lambak Kanan Jalan 49 dan Sekolah Rendah Pantai Berakas.
Sementara itu, Sekolah Chung Hwa menjuarai bagi Kategori Beregu Berpasukan, naib juara disandang oleh Sekolah St. Andrew's diikuti tempat ketiga bersama ialah Sekolah Rendah Pengiran Dipa Negara Pengiran Jaya, Sengkarai dan Sekolah Rendah Datu Ratna Haji Muhammad Jaafar, Kiarong.
Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang ialah Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Pendidikan, Dr. Dayang Hajah Lilly Suzana binti Haji Shamsu yang berlangsung di Gelanggang Badminton Pusat Belia.
Festival tersebut dikendalikan oleh Kementerian Pendidikan melalui Bahagian Jasmani dan Rekreasi, Jabatan Pendidikan Kokurikulum, dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan serta sokongan Persatuan Badminton Kebangsaan Brunei Darussalam yang melibatkan sekolah-sekolah rendah kerajaan dan swasta di bawah Kementerian Pendidikan serta Kementerian Hal Ehwal Ugama. Sebanyak 31 buah pasukan yang dibahagikan kepada lapan kumpulan menyertai festival tersebut.
Festival ini bertujuan untuk mencungkil bakat dan potensi pelajar dalam sukan badminton, di samping menggalakkan penyertaan yang lebih inklusif melalui penglibatan pelajar berkeperluan khas.
Ia juga menjadi platform untuk memperkukuh jaringan kerjasama dengan agensi-agensi berkaitan serta menerapkan nilai-nilai murni seperti gaya hidup sihat, disiplin, daya tahan, kepimpinan dan semangat berpasukan melalui sukan.