DPMM FC tewas kepada KL City FC

30 Og 2026 - 6:53am

Oleh : Khartini Hamir

Foto : Pg. Nurhafilah Pg. Osman

KUALA LUMPUR, Sabtu, 29 Ogos. – Perlawanan terbaharu Liga Super Malaysia 2026/27 menyaksikan DPMM FC tewas kepada Kuala Lumpur City FC (KL City FC) dengan keputusan 0 -1 pada perlawanan yang berlangsung petang tadi di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Pada separuh masa pertama menyaksikan DPMM FC bijak mengawal permainan dengan melakukan beberapa serangan bertubi-tubi ke atas KL City FC yang masih mencari-cari rentak dalam permainan namun gagal menjaringkan sebarang gol.

Keadaan bertukar menjadi tegang saat pengurus DPMM FC, Mcallister James Reynold dilayangkan kad merah dalam keadaan perlawanan padang yang rancak dikuasai oleh pasukan lawan KL City FC.

Walau bagaimanapun, pujian perlu diberikan kepada DPMM FC kerana mahir menunjukkan prestasi permainan yang baik serta bijak mengatur serangan walaupun sering dikasari oleh pasukan lawan.

Sementra pada babak kedua perlawanan pula menyaksikan kedua-dua pasukan saling menunjukkan penguasaan permainan yang lebih baik dengan para pemain saling melancarkan beberapa serangan ke atas gawang masing-masing.

Namun memasuki minit ke-93 dalam masa tambahan, KL City FC berjaya menjaringkan gol tunggal mereka menerusi sentuhan penyudah yang dibuat oleh Paulo Josue, sekali gus berjaya mengutip mata pertama mereka pada liga musim ini selepas dilanda rantaian kontroversi, apabila masalah di luar padang menjejaskan perjalanan skuad mereka sehingga kehilangan enam mata.

Menerusi perlawanan berkenaan kini DPMM FC menduduki tangga keenam carta Liga Super Malaysia 2026/27.

Perlawanan seterusnya bagi DPMM FC adalah menentang Terengganu FC pada kejohanan Piala FA Malaysia (Pusingan 16 Terakhir, Perlawanan Pertama) yang akan berlangsung pada Selasa, 1 September 2026, pukul 8.15 malam bertempat di gelanggang sendiri, Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.