INMD : Tanda penghargaan menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan selamat

25 Jul 2026 - 7:30am

Oleh : Pg. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad

Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid

BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 24 Julai. - Sempena dengan Sambutan Hari Jururawat dan Bidan Antarabangsa (International Nurses and Midwives Day - INMD) 2026, Jabatan Kejururawatan, Jerudong Park Medical Centre (JPMC) telah menganjurkan acara khas bertajuk  'Stronger Together with the Ri'ayah Wa Mahabbah Students', yang menghimpunkan para jururawat, pelajar dan pendidik dalam satu sambutan bermakna yang menekankan nilai inklusiviti, kerjasama berpasukan dan kesejahteraan di luar persekitaran penjagaan kesihatan.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar, selaku Pengerusi dan Pengarah Eksekutif JPMC.

Program berkenaan menghimpunkan seramai 150 peserta yang terdiri daripada pelajar dan guru Program Ri'ayah Wa Mahabbah serta warga Jabatan Kejururawatan, JPMC.

Sepanjang program, para peserta mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti sukan interaktif dan pembinaan pasukan yang direka untuk menggalakkan kerjasama, interaksi serta penyertaan aktif.

INMD disambut pada setiap tahun bagi memberikan penghargaan terhadap dedikasi dan sumbangan tidak ternilai oleh para jururawat dan bidan dalam menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang selamat, penuh belas ihsan serta berpusatkan pesakit.

Selain meraikan sambutan berkenaan, inisiatif tersebut turut mencerminkan komitmen Jabatan Kejururawatan, JPMC dalam memupuk nilai kasih sayang, inklusiviti dan penglibatan masyarakat.

Penyertaan pelajar Program Ri'ayah Wa Mahabbah dalam sambutan berkenaan mengukuhkan lagi nilai empati, hormat-menghormati dan penjagaan berpusatkan individu yang menjadi teras profesion kejururawatan dan kebidanan.

Pengarah Kejururawatan JPMC, Chung Yea Fui menjelaskan bahawa profesion kejururawatan bukan sekadar satu pekerjaan, malah merupakan satu tanggungjawab untuk menjaga kebajikan masyarakat serta membawa perubahan positif yang melangkaui persekitaran hospital.

Jelasnya lagi, INMD berkenaan memberi peluang kepada mereka untuk menyumbang kembali kepada masyarakat dan melaksanakan sesuatu yang benar-benar bermakna.

Beliau menambah, inisiatif tersebut turut menyokong usaha JPMC dalam menggalakkan amalan gaya hidup sihat, memperkukuh kerjasama bersama komuniti serta menyemai semangat tanggungjawab bersama.

Inisiatif berkenaan juga menyokong usaha JPMC dalam menggalakkan gaya hidup sihat, memperkukuh kerjasama dengan masyarakat serta menyemai semangat tanggungjawab bersama.

Dengan menghimpunkan pelajar, pendidik dan profesional penjagaan kesihatan, program berkenaan menyerlahkan lagi impak positif kerjasama berpasukan, di samping mengiktiraf peranan jururawat dan bidan sebagai penggerak kepada kesihatan, kesejahteraan dan pembangunan masyarakat.

Acara yang diadakan di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah berkenaan turut dihadiri oleh wakil-wakil dari Kementerian Pendidikan serta Ahli-ahli Pengurusan Kanan JPMC, sekali gus mencerminkan kepentingan penglibatan masyarakat dalam mempromosi kesihatan dan kesejahteraan.