Oleh : Pg. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad
Foto : Ihsan Urus Setia Kontinjen Negara Brunei Darussalam ke Sukan Komanwel Glasgow 2026 Ke-23
GLASGOW, SCOTLAND, Ahad, 26 Julai. - Dua atlet renang Negara Brunei Darussalam meneruskan saingan dalam acara renang pada temasya Sukan Komanwel Ke-23 di Tollcross International Swimming Centre.
Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (BDNOC), berkenan berangkat menyaksikan acara renang tersebut.
Pada sesi pertandingan itu, atlet renang negara, Hayley Wong, beraksi dalam acara Wanita 100 Meter Gaya Bebas, manakala Joel Ling Thai Yu menyertai acara Lelaki 200 Meter Gaya Kuak Lentang.
Dalam acara Lelaki 200 Meter Gaya Kuak Lentang, Joel Ling Thai Yu berjaya memperbaharui rekod kebangsaan miliknya apabila mencatat masa 2:11.00, mengatasi rekod terdahulu 2:11.41. Beliau menamatkan saingan di kedudukan ke-14 daripada 18 peserta keseluruhan, namun tidak berjaya mara ke peringkat suku akhir.
Sementara itu, Hayley Wong mencatat masa 1:00.75 dalam saringan pertama daripada sembilan saringan bagi acara Wanita 100 Meter Gaya Bebas. Catatan tersebut bagaimanapun tidak dapat mengatasi rekod kebangsaan miliknya iaitu 59.53 saat. Beliau menamatkan saingan di tempat ke-41 daripada 64 peserta keseluruhan dan tidak berjaya melayakkan diri ke peringkat suku akhir.
Sejurus selepas acara tersebut, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah berkenan menyampaikan sabda ucapan tahniah kepada kedua-dua atlet atas semangat juang dan prestasi yang dipamerkan, khususnya kepada Joel Ling Thai Yu atas kejayaan mencipta rekod kebangsaan baharu.
Duli Yang Teramat Mulia turut mengurniakan sabda nasihat kepada para atlet agar terus memperkukuhkan kekuatan mental, mengekalkan fokus sepanjang pertandingan serta sentiasa mengamalkan segala panduan dan strategi yang telah diberikan oleh jurulatih. Nasihat tersebut diharap akan terus menyuntik semangat kepada para atlet untuk memberikan persembahan terbaik dalam baki saingan Sukan Komanwel Ke-23 di Glasgow, Scotland.