Kejohanan Sepak Takraw Regu Terbuka dirasmikan

29 Og 2026 - 4:44am

Oleh : Pg. Syi’aruddin Pg. Dauddin

Foto : Azmah Haji Ahad

BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 28 Ogos. - Persatuan Sepak Takraw Negara Brunei Darussalam telah mengadakan Kejohanan Sepak Takraw Regu Terbuka sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang ke-80 tahun yang diadakan selama dua hari bermula hari ini.

Sehubungan itu, majlis pembukaan kejohanan tersebut diadakan petang tadi, bertempat di Kompleks Sukan Sungai Kebun, Bandar Seri Begawan, di sini.

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya merasmikan kejohanan berkenaan ialah Penghulu Mukim Zon 2 Kampong Ayer, Awang Raimi bin Awang Rashid. 

Atur cara dimulakan nyanyian lagu kebangsaan Allah Peliharakan Sultan, diikuti dengan tetamu kehormat diperkenalkan kepada semua pasukan yang mengambil bahagian dalam kejohanan.

Acara diteruskan lagi dengan perasmian kejohanan oleh tetamu kehormat, yang kemudiannya dijemput untuk melakukan cabutan undian bagi perlawanan mengikut kumpulan masing-masing.

Kejohanan berkenaan disertai oleh sebanyak 24 pasukan iaitu Bomba A, Bomba B, Bomba C, Brunei Legend A, Brunei Legend B, Bru Veteran, Deno FC, JBS Skim A, JBS Skim B, Miharbi A, Miharbi B, MS ABDB A, MS ABDB B, MS ABDB C, MS ABDB D, MS Polis A, MS Polis B, MS Polis C, Muara Spurs A, Muara Spurs B, Penglima, Permata Hijau A, Permata Hijau B, dan Sengkurong.