Kekalkan disiplin, fokus, semangat juang demi mengharumkan nama NBD

25 Jul 2026 - 7:20am

Oleh : Srinarawie Bidzah

Foto : Ihsan Urus Setia Kontinjen Negara Brunei Darussalam ke Sukan Komanwel Glasgow 2026 Ke-23

GLASGOW, SCOTLAND, Jumaat, 24 Julai. - Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha dengan disertai oleh Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Awang Aliuddin bin Haji Abdul Rahman telah mengadakan lawatan ke tempat latihan atlet angkat berat (weightlifting) dan olahraga (athletics) serta penginapan atlet renang (swimming).

Semasa lawatan berkenaan, Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan menzahirkan keyakinan terhadap komitmen dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh para atlet sepanjang tempoh persediaan. 

Yang Berhormat turut berharap agar para atlet akan terus mengekalkan disiplin, fokus dan semangat juang yang tinggi demi mengharumkan nama Negara Brunei Darussalam (NBD) di Sukan Komanwel Glasgow  Ke-23, Tahun 2026. 

Pada Sukan Komanwel Glasgow 2026 ini, NBD akan menyertai tiga acara sukan daripada 10 sukan yang dipertandingkan, iaitu renang, olahraga dan angkat berat.

Glasgow menjadi tuan rumah Sukan Komanwel buat kali kedua selepas kali pertama menganjurkan temasya itu pada tahun 2014. Temasya sukan yang dianggotai oleh Negara-negara Komanwel  akan dilangsungkan bermula dari 23 Julai 2026 hingga 2 Ogos 2026.