Siaran Akhbar dan Foto : Yakin Football League
BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 17 Julai. - Kelab Bola Sepak Al-Mujaahidun FA buat julung kalinya akan menyertai Garuda International Cup (GIC) 2026 yang akan berlangsung di Padang Latihan ASIOP dan Ayo Arena, Bogor, Republik Indonesia.
Kejohanan yang menghimpunkan pasukan-pasukan bola sepak remaja antarabangsa berkenaan dijangka disertai sebanyak 15 buah negara dengan pertandingan melibatkan Kategori Umur Bawah 10 Tahun (U10), Kategori Umur Bawah 12 Tahun (U12) dan Kategori Umur Bawah 15 Tahun (U15).
Sehubungan itu, Al-Mujaahidun FA telah mengadakan Majlis Menandatangani Perjanjian Bersama dengan Yakin Football League (YFL) selaku penaja pasukan bagi penyertaan dalam GIC 2026 yang akan diadakan pada Ogos depan.
Pengerusi YFL, Pengiran Zamri bin Pengiran Haji Bujang menandatangani mewakili YFL, manakala Pemilik Bersama Al-Mujaahidun FA, Dayang Himesadeja binti Adenan @ Adinin pula hadir bagi menandatangani perjanjian kerjasama berkenaan di Ibu Pejabat YFL, Gadong.
Seramai 17 pemain yang dipilih untuk menyertai skuad Al-Mujaahidun FA turut menandatangani perjanjian bagi beraksi dalam kejohanan bertaraf antarabangsa yang dijangka menyaksikan persaingan sengit.
Sementara itu, Dayang Himesadeja menzahirkan penghargaan atas sokongan yang diberikan oleh YFL, sambil menyifatkannya sebagai satu komitmen dan usaha yang jelas dalam menyokong perkembangan serta pembangunan bola sepak negara, khususnya di peringkat akar umbi.
"Kami akan terus memperkukuhkan komitmen dan tanggungjawab untuk membawa nama pasukan, di samping menanamkan nilai disiplin, integriti dan semangat kesukanan sepanjang kejohanan itu nanti," katanya.
Beliau seterusnya berkata nama Al-Mujaahidun yang berasal daripada bahasa Arab, bermaksud 'para pejuang', sekali gus mencerminkan semangat berani menghadapi cabaran, tidak mudah berputus asa dan sentiasa berusaha mencapai kejayaan.
Visi dan misi Al-Mujaahidun tambahnya lagi adalah untuk melahirkan pemain futsal dan bola sepak yang cemerlang di gelanggang dan memiliki sahsiah terpuji serta mengamalkan nilai-nilai Islam.
"Kami berharap mereka akan menjadi contoh dan inspirasi kepada generasi muda melalui akhlak mulia, disiplin tinggi serta sikap saling menghormati jurulatih, rakan sepasukan dan semua pihak," ujarnya lagi.