Kontinjen NBD berlepas ke Glasgow, Scotland bagi Sukan Komanwel ke-23

20 Jul 2026 - 8:24am

Oleh : Khartini Hamir

Foto : Azmah Haji Ahad

BERAKAS, Ahad, 19 Julai. - Rombongan Pertama Kontinjen Negara Brunei Darussalam iaitu seramai enam orang ahli terdiri daripada tiga orang atlet sukan renang serta tiga orang pegawai termasuk Chef de Mission, Ketua Urus Setia (Safeguarding Officer) dan Jurulatih Renang telah berlepas ke Glasgow, Scotland bagi menyertai Kejohanan Sukan Komanwel Ke-23 dijadual berlangsung secara rasminya mulai 23 Julai 2026 hingga 2 Ogos 2026 di Glasgow, Scotland.

Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi mengucapkan selamat belayar dan memberikan ucapan serta kata-kata semangat ialah Pengarah Belia dan Sukan, Dayang Hajah Umi Kalthum binti Haji Abdul Karim.

Juga hadir sama ialah Head of Chancery daripada Suruhanjaya Tinggi British di Negara Brunei Darussalam, William Roberts; Pegawai-pegawai Jabatan Belia dan Sukan, persatuan sukan kebangsaan dan keluarga atlet.

Majlis didahului dengan bacaan Doa Selamat dipimpin oleh Awang Haji Ahmad Yaardy bin Haji Abdul Karim, diikuti dengan ucapan nasihat kepada Kontinjen Negara Brunei Darussalam dan diakhiri dengan sesi bergambar ramai.

Negara Brunei Darussalam dalam temasya Sukan Komanwel Ke-23 ini akan menyertai tiga acara sukan daripada 10 sukan yang dipertandingkan iaitu renang, olahraga dan angkat berat.

Atlet-atlet renang negara akan mula bertanding pada Jumaat, 24 Julai 2026 bertempat di Tollcross International Swimming Centre.

Rombongan terakhir akan bertolak ke Glasgow, Scotland pada Selasa, 21 Julai 2026.