Berita dan Foto : Nurdiyanah Rajami
BERAKAS, Ahad, 19 Julai. - Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Sekolah- Sekolah (JSS) telah menyelaras penyertaan Kontinjen Negara Brunei Darussalam (NBD) yang terdiri daripada empat ahli dari Sekolah Sukan dalam The 27th Thailand Sports School Games (Nakhonseekhwae Games) di Nakhon Sawan Sports School, Wilayah Nakhon Sawan Thailand yang bermula dari 15 hingga 24 Julai 2026.
Bagi kejohanan tersebut, Kontinjen NBD menyertai acara pencak silat yang diwakili oleh tiga pelajar-atlet iaitu Awang Muhd. Ra’id Naim bin Muhd. Syamsuddin, Awang Muhammad Asyraf Syafiee bin Norazrin dan Dayang Nur Hidayatul Najwa binti Asrizal, di bawah bimbingan jurulatih sekolah berkenaan, Awang Muhammad Ali Rashid bin Haji Mohd. Alipah.
Sehubungan itu, hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei (LTAB), petang tadi, bagi mengucapkan selamat belayar kepada kontinjen negara ialah Pemangku Pegawai Tugas-Tugas Khas Kanan (Korporat), JSS, Kementerian Pendidikan, Awang Mohammad Danny bin Aimi dan Pengetua Sekolah Sukan NBD, Awang Alexandar bin Bandang.
Turut hadir, pegawai-pegawai kanan dari JSS, Kementerian Pendidikan, pihak Pentadbiran Sekolah Sukan serta ibu bapa dan ahli keluarga kontinjen.
Antara tujuan penyertaan tersebut adalah sebagai satu landasan untuk para atlet menimba pengalaman serta mengukur kemampuan dengan bersaing bersama Sekolah-sekolah Sukan terbaik dari Thailand, Malaysia, Singapura dan Indonesia. Kali terakhir Sekolah Sukan menyertai Kejohanan Sukan Sekolah Sukan Thailand ini adalah pada tahun 2025.