Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Pendidikan
BERAKAS, Khamis, 16 Julai. - Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Sekolah-Sekolah (JSS) telah menyelaras penyertaan kontinjen Negara Brunei Darussalam (NBD) yang terdiri daripada empat ahli dari Sekolah Sukan dalam The 27th Thailand Sports School Games (Nakhonseekhwae Games) di Nakhon Sawan Sports School, Wilayah Nakhon Sawan Thailand yang bermula 15 hingga 24 Julai 2026.
Bagi kejohanan tersebut, kontinjen NBD menyertai acara karate yang diwakili oleh dua pelajar-atlet iaitu Awang Mohd. Sawalal bin Hamdan dan Awang Mohd. Farhi Jauzi bin Mohd. Hilhamd, di bawah bimbingan jurulatih sekolah berkenaan, Awang Haji Muhd. Ishak bin Haji Abu Bakar.
Kontinjen diketuai oleh Pegawai Kesejahteraan dari Sekolah Sukan Brunei Darussalam, Dayang Dhia Syuhada binti Abdul Rahman Ambol selaku Chef de Mission.
Antara tujuan penyertaan tersebut adalah sebagai satu landasan untuk para atlet menimba pengalaman serta mengukur kemampuan dengan bersaing bersama sekolah-sekolah sukan terbaik dari Thailand, Malaysia, Republik Singapura, dan Republik Indonesia.
Kali terakhir Sekolah Sukan menyertai Sports School Games, Thailand ini adalah pada tahun 2025.
Turut hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi mengucapkan selamat belayar kepada kontinjen negara, Pengetua Sekolah Sukan, Awang Alexandar bin Bandang; pegawai-pegawai kanan dari JSS, Kementerian Pendidikan, pihak Pentadbiran Sekolah Sukan serta ibu bapa dan ahli keluarga kontinjen.