Latihan konsisten, sokongan padu kunci kejayaan

25 Jul 2026 - 5:57am

Berita dan Foto : Siti Rokiah Abdullah

BERAKAS, Jumaat, 24 Julai. - Perasaan paling membanggakan bagi seorang atlet ialah apabila berjaya berdiri di atas podium sambil mengibarkan bendera negara selepas meraih pingat emas.

Detik bersejarah itu bukan sekadar lambang kemenangan, malah menjadi ganjaran kepada segala pengorbanan, disiplin dan usaha yang dicurahkan selama bertahun-tahun.

Begitulah kejayaan yang dirasai dua atlet Sekolah Sukan, Negara Brunei Darussalam (NBD) apabila berjaya menghadiahkan dua pingat emas pada Kejohanan Sukan Sekolah Sukan Thailand Ke-27 (Nakhonseekhwae Games) yang berlangsung di Sekolah Sukan Nakhon Sawan, Wilayah Nakhon Sawan, Thailand.

Lebih daripada sekadar kemenangan, kejayaan tersebut menjadi bukti bahawa impian besar mampu direalisasikan melalui latihan yang konsisten, ketahanan mental, disiplin yang tinggi serta sokongan padu daripada jurulatih, keluarga, guru, rakan sepasukan dan pihak sekolah.

Pingat emas pertama disumbangkan oleh Awang Muhammad Farhi Jauzi bin Md. Hilhamd menerusi Acara Karate Kata Bawah 16 Tahun, manakala pingat emas kedua diraih oleh Awang Mohammad Sawalal bin Hamdan dalam Acara Karate Kumite Bawah 63 kilogram.

Lebih membanggakan, kemenangan Awang Mohammad Sawalal mencipta sejarah apabila menjadi pingat emas pertama Sekolah Sukan, NBD dalam Acara Kumite sepanjang penyertaan sekolah berkenaan di kejohanan tersebut.

Kejayaan itu turut diserikan dengan pengiktirafan kepada Jurulatih Karate Sekolah Sukan, Awang Haji Muhd. Ishak bin Haji Abu Bakar, yang menerima Anugerah Jurulatih Terbaik Karate bagi Kategori Bawah 16 Tahun.

Mengimbas persiapan sebelum kejohanan, Awang Haji Muhd. Ishak berkongsi sasaran utama kontinjen sejak awal adalah untuk memberikan persembahan terbaik walaupun berdepan saingan sengit, khususnya daripada pasukan Thailand selaku tuan rumah.

“Pada mulanya kami bertekad untuk melakukan yang terbaik. Namun apabila melihat potensi kedua-dua atlet serta kekuatan pasukan lawan, khususnya Thailand, kami mengambil keputusan untuk mengubah strategi pada saat-saat akhir. Alhamdulillah, strategi itu berjaya membuahkan hasil,” katanya.

Menurut beliau, kejayaan tersebut amat bermakna kerana buat pertama kalinya skuad karate Sekolah Sukan berjaya membawa pulang pingat emas daripada kejohanan berkenaan.

Beliau menjelaskan bahawa kejayaan seseorang atlet bukan hanya bergantung kepada kemahiran teknikal, tetapi juga kekuatan mental, disiplin dan komitmen sepanjang menjalani latihan.

“Saya sentiasa menekankan disiplin kepada setiap atlet. Mereka telah bersedia dari segi mental, mematuhi jadual latihan dan memberikan komitmen sepenuhnya. Itulah antara faktor utama yang menyumbang kepada kejayaan mereka meraih pingat emas,” jelasnya.

Beliau turut menzahirkan rasa bangga terhadap kedua-dua atlet yang dibimbingnya sejak empat tahun lalu.

“Mereka bermula daripada kosong. Saya melatih mereka selama empat tahun dan hari ini mereka telah membuktikan bahawa dengan usaha yang berterusan, mereka mampu berubah daripada ‘zero to hero’,” ujarnya.

Katanya lagi, kejayaan itu diharapkan dapat menjadi inspirasi kepada pelajar-pelajar lain agar berani mengejar impian, tidak mudah berputus asa dan sentiasa percaya bahawa kerja keras akan membuahkan hasil.

Beliau turut menasihatkan atlet-atlet muda supaya sentiasa rajin berlatih, mematuhi setiap program latihan yang disediakan, menjaga pemakanan, mendapatkan rehat dan tidur yang mencukupi serta sentiasa berdisiplin bagi memastikan prestasi berada pada tahap terbaik.

Sementara itu, Awang Muhammad Farhi Jauzi, melahirkan rasa syukur atas kejayaan yang disifatkannya sebagai hadiah paling bermakna hasil segala usaha yang dilakukan.

“Saya amat bersyukur dan berterima kasih kepada jurulatih yang begitu komited melatih kami untuk menghadapi pertandingan ini. Terima kasih juga kepada keluarga, rakan-rakan serta Kementerian Pendidikan yang memberi kepercayaan kepada kami untuk mewakili Sekolah Sukan dan NBD," katanya.

Beliau mengakui sukar mempercayai kemenangan tersebut ketika namanya diumumkan sebagai pemenang pingat emas.

“Pada mulanya saya tidak percaya, tetapi dalam masa yang sama sangat teruja. Pasukan Thailand sememangnya antara pencabar paling kuat dalam kejohanan ini. Kejayaan ini menjadi pembakar semangat untuk saya terus melangkah lebih jauh dalam arena karate,” katanya.

Bagi Awang Mohammad Sawalal pula, kejayaan itu merupakan hasil usaha bersama dan bukan miliknya seorang.

“Kemenangan ini bukan hasil usaha saya seorang, tetapi juga berkat doa dan sokongan ibu bapa, jurulatih, guru-guru serta rakan sepasukan yang sentiasa memberikan semangat kepada saya untuk melakukan yang terbaik,” ujarnya.

Beliau berharap kejayaan tersebut menjadi pemangkin untuk terus meningkatkan prestasi dan mewakili NBD di lebih banyak kejohanan serantau dan antarabangsa.

“Sasaran saya ialah untuk terus memperbaiki prestasi melalui latihan yang lebih gigih, berdisiplin serta sentiasa memperbaiki kelemahan diri supaya dapat mencapai lebih banyak kejayaan dan terus mengharumkan nama negara pada masa hadapan,” katanya.

Kejayaan dua atlet muda ini membuktikan bahawa kecemerlangan tidak hadir dalam sekelip mata. Ia lahir daripada semangat juang yang tinggi, disiplin yang tidak pernah luntur serta keyakinan bahawa setiap cabaran mampu diatasi dengan usaha yang berterusan.

Lebih penting lagi, pencapaian ini menjadi simbol bahawa atlet muda tempatan mempunyai potensi besar untuk bersaing di pentas antarabangsa. Dengan bimbingan yang berkualiti, sokongan berterusan dan semangat tidak mudah mengalah, impian untuk melahirkan lebih ramai juara yang mengharumkan nama negara pasti mampu direalisasikan.