Memperkasa peranan sukan dalam menyokong pembangunan mampan

25 Jul 2026 - 7:15am

Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan

GLASGOW, SCOTLAND, Jumaat, 24 Julai. - Negara Brunei Darussalam (NBD) menegaskan semula komitmennya untuk memperkukuh kerjasama antarabangsa dalam bidang sukan serta mempromosi sukan sebagai pemangkin kepada pembentukan masyarakat yang lebih sihat, inklusif, pemerkasa belia dan pembangunan mampan melalui penyertaannya dalam Mesyuarat Menteri-menteri Sukan Komanwel Ke-12 (12th Commonwealth Sports Ministers Meeting – 12CSMM). 

Delegasi NBD ke 12CSMM telah diketuai oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha. 

Mesyuarat berkenaan telah berlangsung pada 21 hingga 22 Julai 2026 di Glasgow, Scotland, United Kingdom. 

Mesyuarat yang dihoskan oleh Kerajaan Scotland di bawah tema 'Reimagining the Power of Sport : Creating Healthier, Fairer, and Connected Commonwealth Communities' berkenaan telah dipengerusikan oleh Menteri Kesihatan Mental, Kesihatan Awam, Sukan, Alkohol dan Dadah, Kerajaan Scotland, Puan Yang Terutama Maree Todd MSP; dan dihadiri oleh Menteri-menteri Sukan, pegawai-pegawai kanan serta wakil-wakil daripada 56 buah Negara Anggota Komanwel. 

Mesyuarat berkenaan menjadi platform bagi negara-negara anggota bertukar pandangan mengenai pemerkasa peranan sukan dalam menyokong pembangunan mampan, menggalakkan keterangkuman sosial serta memperkukuh kerjasama dalam kalangan Negara-negara Komanwel. 

Sebelum berlangsungnya mesyuarat berkenaan pada 21 Julai 2026, Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan telah menyertai lawatan ke Commonwealth Sport Gather, Adjust, Prepare and Sustain (GAPS) Camp yang dianjurkan oleh Commonwealth Sport dengan kerjasama Sekretariat Komanwel dan Kerajaan Scotland di University of the West of Scotland. 

Program berkenaan memberi peluang kepada para menteri dan ketua-ketua delegasi bertukar-tukar pandangan serta memperkukuh kerjasama dalam kalangan Negara-negara Komanwel dalam mempromosi pembangunan sukan yang inklusif dan mampan. 

Turut menyertai Delegasi NBD, Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Awang Aliuddin bin Haji Abdul Rahman serta pegawai-pegawai kanan dari KKBS.