Oleh : Pg. Vivy Malessa Pg. Ibrahim
Foto : Hernie Suliana Haji Othman
BELAIT, Ahad, 26 Julai. – Hayamman Duathlon 2026 anjuran Majlis Perundingan Kampung Pekan Kuala Belait 'B' dengan kerjasama BSRC Cycling Club telah berlangsung dengan jayanya apabila berjaya menarik penyertaan lebih 100 peserta dari seluruh Negara Brunei Darussalam, Sabah, Sarawak serta komuniti ekspatriat.
Cabaran berkenaan diadakan adalah bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80.
Berkenan berangkat menyertai cabaran berkenaan, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah binti Pengiran Haji Salleh Ab. Rahaman.
Cabaran berkenaan mempertandingkan sebanyak empat kategori, iaitu Kategori Terbuka Lelaki, Kategori Veteran Lelaki, Kategori Terbuka Wanita dan Kategori Berpasukan.
Para peserta mengharungi cabaran yang terdiri daripada larian sejauh enam kilometer diikuti dengan kayuhan basikal sejauh 40 kilometer.
Majlis Penyampaian Hadiah telah disempurnakan oleh Penolong Pegawai Daerah Belait, Awang Muhammad Faiq bin Haji Rani, selaku tetamu kehormat majlis.
Johan bagi Kategori Terbuka Lelaki disandang oleh Awang Amiruddin bin Haji Md. Amir; sementara itu Awang Muhd. Nor Risman Ismail pula menyandang johan bagi Kategori Veteran Lelaki.
Manakala, Dayang Shazana Nabilah binti Ayob dinobatkan johan bagi Kategori Terbuka Wanita, sementara Team Belait BLITZ pula menyandang johan bagi Kategori Berpasukan.
Acara berkenaan bertujuan untuk menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat dan aktif, di samping mengeratkan hubungan antara penduduk kampung dengan komuniti setempat, serta menyokong pembangunan aktiviti sukan di Daerah Belait.
Pihak penganjur turut menjunjung kasih di atas penyertaan daripada Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah, yang turut menyerikan lagi acara berkenaan sekali gus mencerminkan sokongan berterusan terhadap penganjuran aktiviti sukan berasaskan komuniti.
Pihak penganjur juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua penaja dan rakan kerjasama yang telah menyumbang kepada kejayaan acara berkenaan, termasuk Premier Motor Co. Sdn. Bhd., yang mewakili jenama MG sebagai rakan automotif rasmi, serta Imagine Sdn. Bhd. sebagai rakan telekomunikasi rasmi, di samping agensi-agensi, para sukarelawan dan organisasi sokongan lain yang turut memainkan peranan penting dalam menjayakan acara berkenaan.
Di samping itu, pihak penganjur juga berharap kejayaan Hayamman Duathlon 2026 akan menjadi pemangkin kepada penyertaan masyarakat yang lebih meluas dalam acara-acara sukan pada masa hadapan, di samping memperkukuh kerjasama antara agensi kerajaan, sektor swasta, organisasi kemasyarakatan dan komuniti sukan dalam memupuk budaya hidup sihat, perpaduan dan gaya hidup aktif di Daerah Belait.