Berita dan Foto : Siti Rokiah Abdullah
BERAKAS, Selasa, 21 Julai. - Kontinjen Kementerian Pendidikan melalui Sekolah Sukan Negara Brunei Darussalam (NBD), yang diwakili oleh pasukan karate selamat kembali ke NBD selepas menyertai acara karate dalam Kejohanan Sukan Sekolah Sukan Thailand Ke-27 (Nakhonseekhwae Games).
Ketibaan kontinjen Sekolah Sukan NBD disambut oleh Pengetua Sekolah Sukan, Awang Alexandar bin Bandang; Timbalan Pengetua Sukan, Sekolah Sukan, Awang Haji Mohd. Azrin bin Haji Aji; dan ahli keluarga para kontinjen.
Kejohanan berkenaan telah berlangsung di Sekolah Sukan Nakhon Sawan, Wilayah Nakhon Sawan, Thailand bermula pada 15 Julai lalu dan dijadualkan berakhir pada 24 Julai 2026.
Pada kejohanan berkenaan, kontinjen Sekolah Sukan NBD telah melakar kejayaan dengan meraih dua pingat emas bagi acara karate. Pingat emas pertama diraih oleh Awang Muhammad Farhi Jauzi bin Md. Hilhamd dalam acara Karate Kata (Kata, Bawah 16 Tahun).
Manakala, pingat emas kedua pula diraih oleh Awang Mohammad Sawalal bin Hamdan menerusi acara karate (Kumite Kategori Berat Badan Bawah 63 Kilogram (kg) - Bawah 16 Tahun).
Kejayaan berkenaan merupakan satu pencapaian bersejarah bagi Sekolah Sukan NBD setelah meraih pingat emas pertama dalam acara Kumite sepanjang penyertaan sekolah berkenaan dalam Kejohanan Sukan Sekolah Sukan Thailand.
Sementara itu, Ketua Pasukan Karate Sekolah Sukan NBD, Awang Haji Muhd. Ishak bin Haji Abu Bakar, selaku Jurulatih Karate telah menerima Anugerah Jurulatih Terbaik Karate bagi Kategori Lelaki Bawah 16 Tahun semasa kejohanan berkenaan.
Anugerah berkenaan merupakan pengiktirafan terhadap sumbangan serta kecemerlangan beliau dalam membimbing pasukan karate Sekolah Sukan NBD.
Kontinjen negara turut disertai oleh Pegawai Kesejahteraan Sekolah Sukan NBD, Dayang Dhia Syuhada binti Abdul Rahman Ambol selaku pengurus pasukan.
Sementara itu, kumpulan kedua kontinjen Kementerian Pendidikan yang diwakili oleh pasukan pencak silat Sekolah Sukan NBD, telah berlepas ke Thailand pada Ahad, 19 Julai 2026 bagi menyertai acara pencak silat dalam kejohanan yang sama yang berlangsung dari 21 hingga 24 Julai 2026.
Pasukan pencak silat berkenaan diketuai oleh Awang Muhammad Ali Rashid bin Haji Mohd. Alipah, selaku Jurulatih Pencak Silat, bersama tiga orang pelajar-atlet, iaitu Awang Muhammad Ra'id Naim bin Muhammad Syamsuddin yang akan bertanding dalam acara Tanding bagi Kategori Lelaki Kelas 'B' Bawah 18 Tahun; Awang Muhammad Asyraf Syafiee bin Norazrin dalam acara Tanding bagi Kategori Lelaki Kelas 'C' Bawah 16 Tahun; serta Dayang Nur Hidayatul Najwa binti Asrizal yang akan menyertai acara Tunggal Wanita Bawah 16 Tahun.
Kehadiran kumpulan kedua berkenaan dijangka terus memperkukuh penyertaan kontinjen Sekolah Sukan NBD dalam kejohanan sukan berkenaan.