Berita dan Foto : Badan Kebajikan dan Sukan Ukur
TUTONG, Selasa, 14 Julai. - Pasukan SUNTO muncul juara Kejohanan Badminton yang dianjurkan oleh Badan Kebajikan dan Sukan Ukur (BAUKUR) yang dikelolakan oleh Bahagian Pengukuran Kadestral (PKD), Jabatan Ukur, Kementerian Pembangunan, baru-baru ini.
Acara berlangsung di Dewan Kompleks Sukan Daerah Tutong.
Sebanyak lima buah pasukan telah menyertai pertandingan tersebut yang terdiri daripada para pegawai dan kakitangan di bawah Jabatan Ukur, Kementerian Pembangunan.
Hadir selaku tetamu kehormat sekali gus menyempurnakan penyampaian hadiah ialah Pemangku Juruukur Agung, Dayang Nor Zetty Akhtar binti Haji Abdul Hamid.
Naib juara telah disandang oleh Pasukan SANDAK dan tempat ketiga disandang oleh Pasukan GPS.
Selain itu, Jabatan Ukur juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada salah seorang kakitangan Jabatan Ukur yang akan bersara iaitu Awang Haji Mohammad bin Haji Junid atas penglibatan beliau dalam sukan badminton sepanjang tempoh perkhidmatan beliau di jabatan dan kementerian itu.
Kejohanan diadakan bertujuan untuk menggalakkan warga pegawai dan kakitangan Jabatan Ukur tersebut untuk terus bergiat aktif dan cergas dalam aktiviti-aktiviti sukan serta diharap akan meningkatkan persefahaman dan kerjasama secara berpasukan dalam kalangan warga berkenaan di samping menjadi platform untuk mencari bakat baharu bagi mewakili Jabatan Ukur serta wakil Kementerian Pembangunan akan datang.