Berita dan Foto : Ihsan Urus Setia Futsal Keputeraan 2026
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 2 September. – Kejohanan Futsal Piala Keputeraan 2026 akan meningkatkan cabaran pasukan-pasukan tempatan selepas Pasukan Republik Singapura dan Malaysia telah mengesahkan menyertai kejohanan dwitahunan itu.
“Saya yakin dengan penyertaan pasukan-pasukan dari negara jiran itu akan menambah seri lagi persaingan kejohanan yang telah mendapatkan sambutan yang sangat menggalakkan ini,” jelas Pengerusi Bersama Kejohanan, Awang Thomas Koh pada Mesyuarat Pengurus-pengurus dan Cabutan Undi kejohanan di Dewan Teater Jabatan Daerah Brunei dan Muara.
Katanya, kejohanan berkenaan akan menjadi platform terbaik untuk menggilap bakat dan potensi pemain-pemain tempatan sekali gus membantu untuk mengembang majukan lagi sukan futsal di negara ini.
Kejohanan telah dibahagikan kepada empat kumpulan yang beraksi secara liga dalam kumpulan sebelum mara ke pusingan suku akhir dan seterusnya melangkah ke peringkat separuh akhir dan perlawanan akhir.
Kumpulan ‘A’ menyaksikan Pasukan Wirajaya, MSSSBD, PES, Syahkampong, SBC A dan Kumpulan ‘B’ diwakili oleh Pasukan-pasukan SBC B, Wasik FC A, AEXS, ISC B dan BK Sahabat.
Sementara itu, Kumpulan ‘C’ akan dibarisi oleh Pasukan-pasukan YND, Fenix FT, KAR, ISC A dan Wasik FC B manakala Pasukan DS X Kota, Makkah FC, ASEAN Futsal, BK Sahabat X AR akan bersaing dalam Kumpulan ‘D’.
Kejohanan Futsal Keputeraan 2026 merupakan salah satu acara bagi memeriahkan Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80 Peringkat Daerah Brunei dan Muara.