Siaran Akhbar dan Foto : Kelab Badminton GYBs55
GADONG, Selasa, 1 September. - Kejuaraan Perlawanan Badminton 3 SUM HM80 yang dianjurkan oleh Kelab Badminton GYBs55 sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80 Tahun telah berlangsung di Dewan Kompleks Sukan Menglait, Gadong dengan penuh meriah dan semangat persahabatan.
Acara kemuncak kejohanan ialah majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang, yang turut diserikan dengan kehadiran ahli-ahli kelab, para peserta serta penyokong yang bersama-sama memberikan sokongan sepanjang kejohanan.
Perlawanan Badminton 3 SUM HM80 menjadi platform untuk mengeratkan hubungan silaturahim, memupuk semangat kesukanan dan memperkukuhkan ukhuwah dalam kalangan warga yang menyertai kejohanan.
Para pemain telah menunjukkan komitmen, disiplin dan semangat juang yang tinggi sepanjang pertandingan. Persaingan sengit yang dipamerkan turut mencerminkan kesungguhan para peserta dalam memberikan persembahan terbaik sambil mengekalkan semangat fair play dan persahabatan.
Majlis penyampaian hadiah menyaksikan para pemenang menerima hadiah sebagai tanda penghargaan atas pencapaian dan usaha yang telah ditunjukkan sepanjang kejohanan.
Pihak penganjur turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua peserta, urus setia, penyumbang, penyokong serta semua pihak yang telah memberikan kerjasama bagi memastikan kejohanan berjalan dengan lancar dan jayanya.
Penganjuran kejohanan seumpama ini diharap akan dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai salah satu usaha menggalakkan gaya hidup sihat melalui aktiviti riadah, di samping mempereratkan hubungan silaturahim dan semangat kekeluargaan dalam kalangan masyarakat.