Berita dan Foto : Ihsan Rooftop Pickle
SERIA, Jumaat, 17 Julai. - Kelab Rooftop Picklers telah mengadakan Perlawanan Persahabatan Pickleball bersama Kelab Brunei Shell Recreational Club (BSRC) di gelanggang pickleball BSRC, Seria, Kuala Belait.
Seramai 30 pemain daripada kedua-dua kelab menyertai perlawanan tersebut yang bertujuan mengukuhkan hubungan silaturahim serta mempererat kerjasama antara organisasi melalui aktiviti sukan yang sihat dan bermanfaat.
Penganjuran perlawanan itu juga selaras dengan hasrat kerajaan dalam membudayakan gaya hidup sihat menerusi inisiatif ‘Menuju ke Arah Warga Sihat’, di samping menggalakkan penyertaan generasi muda dalam aktiviti riadah dan sukan.
Selain menjadi platform mengeratkan hubungan antara ahli kedua-dua kelab, perlawanan berkenaan turut memberi peluang kepada pemain Kelab Rooftop Picklers untuk menimba pengalaman, mempelajari teknik baharu serta meningkatkan kemahiran dalam sukan Pickleball.
Pihak penganjur berharap perlawanan persahabatan seumpama ini akan diteruskan pada masa akan datang bagi memperkukuhkan lagi hubungan antara komuniti sukan serta menyemarakkan perkembangan sukan Pickleball di negara ini.