Berita dan Foto : Ak. Mohamad Zaki Pg. Haji Kasharan
TUTONG, Ahad, 30 Ogos. - Pasukan Gerambeat dan Pasukan KB Bull ‘B’ muncul johan Perlawanan Tarik Kalat Terbuka Brunei sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80 Tahun 2026.
Majlis Penutup Perlawanan Tarik Kalat yang dianjurkan oleh Jabatan Daerah Tutong itu telah berlangsung petang tadi setelah berjalan selama dua hari, bermula 29 hingga 30 Ogos 2026, bertempat di Padang Kompleks Dewan Kemasyarakatan Tutong.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awang Haji Mohammad Sofian bin Haji Basri, yang seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang. Perlawanan Tarik Kalat Terbuka Brunei 2026 mempertandingkan dua kategori, iaitu Kategori Ringan 560 kilogram (kg) dan Kategori Berat 680kg.
Kategori Ringan 560kg disertai oleh 16 pasukan, manakala Kategori Berat 680kg disertai oleh 12 pasukan.
Turut mengambil bahagian ialah pasukan jemputan dari Sabah dan Sarawak, dengan penyertaan sebanyak tiga pasukan bagi Kategori Ringan 560kg dan tiga pasukan bagi Kategori Berat 680kg. Dalam Kategori Berat 680kg, gelaran johan telah dimenangi oleh Pasukan Gerambeat dari Sabah yang membawa pulang piala iringan, pingat serta hadiah wang tunai berjumlah BND1,800 diikuti naib johan yang disandang oleh Pasukan Chainblock sekali gus menerima piala iringan, pingat serta hadiah wang tunai sebanyak BND1,200.
Tempat ketiga pula dimenangi oleh Pasukan Rudal D9 dari Limbang yang menerima piala iringan, medal serta hadiah wang tunai berjumlah BND800, manakala tempat keempat disandang oleh Pasukan MS PPDB ‘B’ yang menerima piala iringan, pingat serta hadiah wang tunai berjumlah BND500.
Bagi Kategori Ringan 560kg pula, Pasukan KB Bull ‘B’ muncul sebagai johan dengan membawa pulang piala iringan, pingat serta hadiah wang tunai berjumlah BND1,800 diikuti naib johan oleh Pasukan Bros Extreme yang menerima piala iringan, medal serta hadiah wang tunai sebanyak BND1,200.
Sementara itu, tempat ketiga dimenangi oleh Pasukan Gerambeat dari Sabah yang membawa pulang piala iringan, pingat serta hadiah wang tunai berjumlah BND800 manakala tempat keempat pula disandang oleh Pasukan KB Bull ‘A’ yang menerima piala iringan, pingat serta hadiah wang tunai berjumlah BND500.
Penganjuran Perlawanan Tarik Kalat Terbuka Brunei 2026 merupakan salah satu inisiatif bagi menyemarakkan lagi Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80 Tahun 2026, di samping memperkasa penglibatan masyarakat dalam aktiviti sukan dan kemasyarakatan.
Selain itu, perlawanan berkenaan turut menjadi wadah bagi mengeratkan silaturahim dalam kalangan peserta, penganjur dan peminat sukan tarik kalat, di samping memupuk semangat kesukanan, disiplin, kerjasama berpasukan dan setia kawan.
Penganjuran Perlawanan Tarik Kalat Terbuka Brunei 2026 diharap dapat terus menyumbang kepada usaha memperkasa penglibatan masyarakat dalam aktiviti sukan dan kemasyarakatan, di samping memupuk nilai kesukanan, disiplin, kerjasama berpasukan dan semangat setia kawan dalam kalangan peserta.
Acara seumpama ini juga diharap dapat memelihara dan memperkenalkan sukan tradisi tarik kalat kepada generasi muda, sekali gus menyemarakkan lagi Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80 Tahun 2026.