Pertandingan Melastik martabatkan sukan tradisional, warisan budaya

28 Jul 2026 - 6:15am

Siaran Akhbar dan Foto : Majlis Perundingan Mukim dan Kampung Lamunin

TUTONG, Isnin, 27 Julai. - Majlis Perundingan Mukim dan Kampung (MPMK) Lamunin dan Warisan Slingshot mengadakan Pertandingan Melastik Siri 1 / 2026 bagi Daerah Tutong bersempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80 bagi Tahun 2026, baru-baru ini.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Penolong Pegawai Daerah Tutong, Awangku Arif Anuar bin Pengiran Haji Ahmad.

Turut hadir selaku tetamu khas, Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Haji Mohamad Danial@Tekpin bin Ya'akub, Penghulu Mukim Ukong, dan Ketua Kampung Lamunin, Awang Saini bin Haji Othman juga selaku Pemangku Penghulu Mukim Lamunin.

Seramai 30 peserta menyertai bagi Kategori Terbuka dan 14 peserta pula menyertai Kategori Veteran 60 Tahun Ke Atas.

Adapun objektif pertandingan adalah bagi memartabatkan sukan tradisional melastik sebagai warisan budaya dan rekreasi yang sihat dalam kalangan masyarakat.

Selain itu, mengeratkan hubungan silaturahim antara peserta, penganjur dan komuniti melalui semangat kesukanan serta menyemarakkan minat generasi muda dan veteran terhadap sukan melastik yang semakin dilupakan.

Acara khas juga dipertandingkan bagi acara terakhir pertandingan diselajurkan dengan penyampaian hadiah-hadiah kepada pemenang serta bergambar ramai.