Siaran Akhbar dan Foto : Permata Hijau Warrior Brunei
BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 14 Julai. - Kelab bola sepak Permata Hijau Warrior (PHW) Brunei telah berjaya menyandang tempat ketiga bersama pada Kejohanan Bola Sepak Veteran Battle of the 60s anjuran Kelab Dark Horse, Penampang dengan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM1,000.
Kejohanan yang berlangsung di Padang Sukma pada 11 Julai 2026 dan Stadium Penampang, Sabah pada 12 Julai 2026 berkenaan telah disertai oleh 11 buah pasukan yang diwakili oleh kelab-kelab bola sepak veteran dari Sabah, manakala PHW Brunei adalah satu-satunya kelab yang mewakili Negara Brunei Darussalam (NBD).
Pada pertandingan berkenaan, PHW Brunei telah memenangi dua perlawanan, dengan sekali seri dan sekali tewas daripada empat perlawanan di pusingan pertama.
Manakala pada peringkat separuh akhir, PHW Brunei telah tewas kepada pasukan dari Sabah, iaitu Mempagat melalui penentuan sepakan penalti selepas seri pada perlawanan sepenuh masa.
Penyampaian hadiah disempurnakan oleh Presiden Kelab Dark Horse dan ahli jawatankuasa kejohanan.