PMKK Daerah Belait pamer aksi cemerlang

14 Jul 2026 - 8:46am

Berita dan Foto : Ihsan Jawatankuasa Kejohanan Liga Bola Sepak Penghulu Mukim dan Ketua Kampung 2025-2026

 

SERIA, Isnin, 13 Julai. - Pasukan Bola Sepak Penghulu Mukim dan Ketua-Ketua Kampung (PMKK) Daerah Belait berjaya merapatkan kedudukan pendahulu Liga Bola Sepak PMKK 2025-2026 selepas berjaya mempamerkan aksi cemerlang dengan menewaskan Pasukan Bola Sepak PMKK Daerah Brunei dan Muara 7 - 3 di Padang Arena, di sini.

Sekalipun pasukan PMKK Daerah Brunei dan Muara terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi tandukan menarik Awang Rasli bin Taram pada minit ke-9, namun PMKK Daerah Belait berjaya menyamakan kedudukan melalui Awang Md. Shahronizam bin Haji Md. Noh pada minit ke-35 sebelum Awang Md. Hamizan Aziz bin Sulaiman berjaya meletakkan PMKK Daerah Belait di hadapan pada minit ke-45 untuk kedudukan 2 - 1.

Babak kedua semakin menarik apabila PMKK Daerah Brunei dan Muara berjaya merapatkan kedudukan 2 - 2 menerusi Awang Raimi bin Awang Rasit pada minit ke-50.

PMKK Daerah Belait yang tidak mudah mengalah berjaya, kembali menguasai permainan sehingga Awang Md. Rawiyani bin Morney berjaya menjaringkan gol pada minit ke-55 dan selang tiga minit kemudian, Awang Md. Hamizan sekali lagi menemui sentuhan jaringan.

Awang Nurulizam bin Abdul Rahman tidak melepaskan peluang untuk mengegarkan jaringan PMKK Daerah Brunei dan Muara dan sentuhan hatrik Awang Md. Hamizan pada minit ke-60 melesukan pasukan pelawat.

Sekalipun, Awang Hamidun bin Mohd. Daud sempat menambah jaringan ketiga buat pasukan PMKK Daerah Brunei dan Muara pada minit ke-63 namun ia tidak cukup untuk menyuntik semangat rakannya, sebaliknya, Awang Md. Hamizan menambah pesta jaringan pasukan PMKK Daerah Belait dengan jaringan keempat peribadinya pada minit ke-70 sekali gus untuk memastikan kemenangan bergaya 7 - 3.

Kejayaan bergaya pasukan PMKK Daerah Belait itu sekali gus mengangkat pasukan itu di tangga kedua dengan kutipan 10 mata selepas menyaksikan pasukan PMKK Daerah Temburong mengungguli di puncak liga dengan 13 mata.

Pasukan PMKK Daerah Brunei dan Muara berada di tangga ketiga dengan tujuh mata sementara pasukan PMKK Daerah Temburong berada di corot liga dengan satu mata.