Sukan Air Batu Marang meriah, satukan perpaduan masyarakat

20 Jul 2026 - 7:22am

Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi Foto : Ihsan Majlis Perundingan Kampung Batu Marang

MUKIM MENTIRI, Ahad, 19 Julai. - Pasukan Helang Setia membuktikan kehebatan mereka di Sungai Batu Marang sehingga berjaya dinobatkan sebagai juara Lumba Perahu Kayuh Marathon 30 Orang Pekayuh pada perlumbaan bersempena Program Aktiviti Sukan Air Kampung Batu Marang 2026 anjuran Majlis Perundingan Kampung (MPK) berkenaan pada kali ini.

Juara yang menerima hadiah wang tunai sebanyak BND500 berserta piala itu mempamerkan kayuhan yang mantap, disiplin tinggi dan semangat berpasukan yang jitu untuk menamatkan perlumbaan sejauh 2,500 meter di hadapan pencabar lain, sekali gus membawa pulang gelaran juara.

Manakala Pasukan Persatuan Mukim Saba muncul sebagai naib juara selepas memberikan saingan sengit sepanjang perlumbaan diikuti Pasukan Lela Cheteria melengkapkan kedudukan tiga terbaik dalam acara penutup yang riuh dan meriah daripada sokongan padu daripada orang ramai yang datang.

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang ialah Pemangku Penghulu Mukim Mentiri, Awang Haji Eddie Hardey bin Haji Ibrahim.

Program seharian itu juga turut dimeriahkan dengan beberapa acara lain antaranya Lumba Berkayuh Perahu JBS 13 orang, Lumba Berkayuh Gobang (Perahu Padian) dengan menyaksikan penyertaan lelaki (50 tahun ke atas), Lumba Berkayuh Perahu Nelayan 3 Orang Lelaki, Lumba Perahu JBS 11 Orang bagi merebut Piala Pusingan, Lumba Berkayuh Perahu Nelayan (seorang lelaki dan empat perempuan) serta pelbagai acara lain yang sememangnya memeriahkan lagi suasana kampung berkenaan.

Ketua Kampung Batu Marang, Awang Mohd. Nor Andy bin Haji Mohd. Said ketika ditemui berkata aktiviti sukan air ini bukan sekadar satu pertandingan, malah merupakan wadah untuk mengeratkan hubungan silaturahim, memupuk semangat perpaduan dan kerjasama dalam kalangan penduduk kampung.

Menurut Awang Mohd. Nor Andy, program itu juga turut berperanan memelihara dan meneruskan warisan budaya lumba perahu yang menjadi kebanggaan masyarakat Kampung Batu Marang sejak turun-temurun.

“Saya juga berharap agar penyertaan golongan belia dalam aktiviti seperti ini akan terus dipertingkatkan supaya warisan sukan air tradisional dapat dipelihara dan diwarisi oleh generasi akan datang,” tambahnya lagi.

Adapun aktiviti Sukan Air Kampung Batu Marang 2026 merupakan sebuah program tahunan sebagai usaha memelihara dan memartabatkan warisan sukan air tradisional yang telah lama menjadi identiti masyarakat Kampung Batu Marang.

Program tersebut bukan sahaja menjadi medan persaingan yang sihat, malah berfungsi sebagai platform untuk mengeratkan hubungan silaturahim serta memupuk semangat kerjasama dalam kalangan masyarakat.

Selain itu, adanya program sedemikian dapat menghimpunkan seluruh penduduk kampung, para peserta, penaja serta pengunjung dalam suasana yang penuh semangat kesukanan, perpaduan dan kemasyarakatan.

MPK Batu Marang setentunya berharap agar program ini akan terus mendapat sokongan daripada pelbagai pihak serta menjadi acara tahunan yang mampu memperkukuhkan semangat perpaduan, mempromosikan budaya tempatan dan memperkenalkan Kampung Batu Marang sebagai sebuah kampung yang kaya dengan warisan, budaya dan semangat kemasyarakatan.