3 anggota polis, 44 militan terbunuh dalam pertempuran, operasi di Republik Islam Pakistan

30 Jul 2026 - 12:32pm

ISLAMABAD, 30 Julai. - Sekurang-kurangnya tiga anggota polis dan 44 militan terbunuh dalam beberapa pertempuran serta operasi risikan di wilayah Khyber Pakhtunkhwa dan Balochistan dalam tempoh 24 jam lepas, lapor Anadolu Ajansi.

Menteri Dalam Negeri Mohsin Naqvi berkata tiga anggota polis, termasuk seorang timbalan penguasa polis (DSP) terbunuh selepas militan menyerang sebuah pusat pemeriksaan di daerah Hangu, Khyber Pakhtunkhwa lewat Rabu. Lapan militan maut ketika pasukan keselamatan bertindak mematahkan serangan berkenaan, sementara 18 anggota polis cedera.

Sementara itu, bahagian media tentera Republik Islam Pakistan, Perhubungan Awam Antara Perkhidmatan (ISPR) memaklumkan bahawa 24 militan terbunuh dalam beberapa operasi di daerah Khyber berhampiran sempadan Afghanistan. Lapan lagi militan terbunuh dalam operasi berasingan di daerah Nushki, Balochistan.

Menurut ISPR, pasukan keselamatan turut merampas dan memusnahkan senjata, peluru serta alat letupan buatan sendiri dalam operasi berkenaan. Operasi pembersihan masih diteruskan bagi mengesan saki-baki militan di kawasan terbabit.

Dalam perkembangan lain, polis memaklumkan empat suspek militan terbunuh dalam operasi yang masih berlangsung di daerah Swat, Khyber Pakhtunkhwa. Swat, antara destinasi pelancongan popular di Republik Islam Pakistan pernah menjadi kubu kuat kumpulan militan sebelum operasi ketenteraan besar-besaran pada 2009 membolehkan kerajaan menguasai semula lembah berkenaan. - ©BERNAMA