Jepun kurangkan unjuran pertumbuhan ekonomi 2026 berikutan kenaikan harga minyak

30 Jul 2026 - 12:01pm

TOKYO, 30 Julai. - Kerajaan Jepun menurunkan unjuran pertumbuhan ekonominya kepada 0.9 peratus bagi tahun fiskal semasa pada Khamis, berbanding anggaran awal 1.3 peratus, ekoran kenaikan harga minyak mentah yang menimbulkan risiko kepada negara yang kekurangan sumber alam itu, lapor Xinhua.

Dalam anggaran pertengahan tahunnya, Pejabat Kabinet berkata prospek yang lebih lemah bagi tahun fiskal berakhir Mac 2027 itu mencerminkan kesan susut nilai mata wang yen berbanding dolar AS, serta harga minyak yang lebih tinggi berpunca daripada konflik di Asia Barat yang menjejaskan perbelanjaan isi rumah dan keuntungan korporat.

Unjuran terbaharu itu menjajarkan jangkaan kerajaan bahawa yen akan didagangkan pada 161.4 berbanding dolar AS, iaitu jauh lebih rendah berbanding unjuran 155.2 pada Januari.

Unjuran berkenaan turut menunjukkan bahawa harga minyak mentah dijangka meningkat kepada USD92.5 setong, melonjak daripada anggaran awal USD68.

Bagaimanapun, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) diunjurkan berkembang 1.1 peratus bagi tahun fiskal 2027 yang bermula April depan, disokong oleh perbelanjaan modal yang kukuh serta penggunaan swasta, menurut Pejabat Kabinet.

Dalam unjuran keseimbangan utamanya yang terbaharu, Pejabat Kabinet menjangkakan defisit yang lebih besar iaitu 1.2 trilion yen (kira-kira USD7.3 bilion) pada tahun fiskal 2026, meningkat daripada unjuran defisit 800 bilion yen pada Jun, susulan keperluan kerajaan untuk membiayai belanjawan tambahan bagi tahun berkenaan.

Keseimbangan utama, yang dikira dengan menolak perbelanjaan daripada hasil cukai dan hasil-hasil lain (tidak termasuk pembayaran faedah bon kerajaan), merupakan petunjuk penting bagi kesihatan fiskal. Keseimbangan utama Japan mengalami defisit sepanjang era pascaperang, sekali gus mengakibatkan longgokan hutang yang amat besar mencecah lebih dua kali ganda saiz ekonominya. - ©BERNAMA