ISTANBUL, 1 Ogos. - Sebuah kapal tangki tidak dapat meneruskan pelayaran selepas bilik enjinnya rosak akibat terkena projektil tidak dikenali di perairan Oman awal Sabtu, menurut Pusat Operasi Perdagangan Maritim United Kingdom (UKMTO) awal Sabtu, lapor Anadolu Ajansi.
UKMTO menerusi notis amaran memaklumkan pihaknya menerima laporan daripada pegawai keselamatan syarikat kapal itu bahawa insiden berkenaan berlaku kira-kira 11 batu nautika di timur laut Lima, Oman.
Menurut UKMTO, projektil berkenaan merosakkan bilik enjin kapal, manakala pengawal pantai serantau telah dimaklumkan dan pihak berkuasa sedang menyiasat kejadian itu.
Tiada kematian atau kecederaan serta kesan terhadap alam sekitar dilaporkan.
Negara pendaftaran bagi kapal yang menjadi sasaran itu masih belum dikenal pasti.
Insiden berkenaan berlaku ketika ketegangan keselamatan di sekitar Selat Hormuz meningkat susulan konfrontasi ketenteraan antara Amerika Syarikat (AS) dengan Republik Islam Iran. - ©BERNAMA