Ribuan pelancong dipindahkan susulan kebakaran hutan merebak berhampiran Bordeaux

23 Jul 2026 - 2:38pm

PARIS, 23 Julai. - Ribuan pelancong dipindahkan sebagai langkah berjaga-jaga di kawasan berhampiran Bordeaux di pantai Atlantik Perancis susulan kebakaran hutan, menurut pihak berkuasa tempatan pada Rabu malam, lapor Agensi Berita Jerman (DPA).

Kebakaran yang berlaku di kampung Saumos pada sebelah pagi itu merebak meliputi kawasan seluas 800 hektar, menurut pihak berkuasa tempatan di Bordeaux.

Kira-kira 500 anggota bomba, empat pesawat pemadam kebakaran dan 150 kenderaan kecemasan dikerahkan ketika keadaan cuaca tidak mengizinkan. Setakat ini tiada kecederaan dilaporkan.

Pihak berkuasa daerah Gironde mengarahkan operasi pemindahan berskala besar pada sebelah petang.

Kira-kira 700 penduduk diarahkan meninggalkan dua kawasan di Le Porge, manakala tapak perkhemahan La Grigne yang menempatkan kira-kira 3,500 pelancong turut dikosongkan.

Mereka yang terjejas dipindahkan ke pusat peranginan berhampiran di Lacanau.

Sebuah pantai di Le Porge yang menempatkan kira-kira 600 kenderaan turut dikosongkan.

Dalam kejadian berasingan, dua anggota bomba maut pada Selasa selepas kenderaan mereka terperangkap dalam kebakaran berhampiran Lapangan Terbang Bordeaux. - ©BERNAMA