Tiga terkorban ribut kuat landa Sao Paulo, Brazil

30 Jul 2026 - 12:10pm

SAO PAULO, 30 Julai. - Sekurang-kurangnya tiga terkorban pada Rabu selepas ribut kuat melanda Sao Paulo, negeri paling padat penduduk dan maju dari segi industri di Brazil, dengan kelajuan tiupan angin melebihi 120 kilometer sejam, menurut Jabatan Pertahanan Awam dan Jabatan Bomba negeri, lapor Xinhua.

Jabatan Pertahanan Awam negeri mengeluarkan amaran cuaca buruk ketika angin kencang melanda beberapa kawasan, serta menasihati penduduk supaya berlindung dan mengelak daripada berada berhampiran pokok, tiang utiliti dan struktur lain yang berisiko tumbang.

Di bandar-bandar sepanjang pesisir pantai Atlantik di negeri Sao Paulo, di tenggara Brazil, kelajuan angin melebihi 100 kilometer sejam, manakala operasi di Pelabuhan Santos, antara pelabuhan terbesar di Latin Amerika, digantung selama dua jam.

Mangsa yang terkorban termasuk seorang gelandangan yang dihempap pokok tumbang akibat angin kencang.

Di perbandaran pesisir pantai Sao Sebastiao, seorang nelayan berusia 50 tahun lemas selepas bot menangkap ikan yang dinaikinya terbalik akibat ribut. Lima lagi individu berjaya diselamatkan oleh sebuah bot persendirian dan menerima rawatan daripada pasukan kecemasan.

Sementara itu, di perbandaran pedalaman Cesario Lange, seorang lelaki berusia 62 tahun maut selepas kereta yang dipandunya dihempap pokok ketika dalam perjalanan pulang dari tempat kerja.

Di ibu kota Sao Paulo, Pusat Pengurusan Kecemasan Iklim melaporkan tiupan angin sehingga 70 kilometer sejam dan memberi amaran bahawa keadaan cuaca ekstrem itu akan berterusan untuk beberapa jam lagi, diiringi hujan lebat.

Lebih 50 pokok, papan tanda trafik dan papan iklan tumbang di sepanjang jalan utama bandar berkenaan, menurut media tempatan. - ©BERNAMA