UEFA ancam boikot Piala Dunia jika FIFA teruskan perjanjian dengan pelabur

31 Jul 2026 - 8:56am

FRANKFURT, 31 Julai. - Persatuan bola sepak Eropah sebulat suara mengancam untuk memulaukan Piala Dunia sekiranya Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) meneruskan rancangan menjual hak komersial kejohanan itu kepada pelabur swasta, menurut Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) selepas mesyuarat tergempar pada Khamis, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).

Badan induk bola sepak Eropah itu dalam kenyataan rasmi berkata tiada pasukan kebangsaan UEFA akan menyertai mana-mana pertandingan FIFA selagi cadangan berkenaan masih diteruskan. Kesemua 55 persatuan anggota UEFA menegaskan pendirian bersama mereka untuk menolak rancangan itu.

“UEFA dan kesemua 55 anggota persatuan berdiri teguh sebagai satu suara. Kami sebulat suara dan tanpa berbelah bahagi menolak cadangan FIFA untuk memindahkan kepentingan pemilikan dalam Piala Dunia serta pertandingan FIFA lain kepada pelabur swasta,” menurut kenyataan berkenaan.

Pendirian UEFA itu bukan sahaja meliputi Piala Dunia lelaki 2030, malah Piala Dunia Wanita yang dijadual berlangsung di Brazil pada musim panas tahun depan. Presiden FIFA Gianni Infantino kini berdepan tekanan hebat selepas badan induk itu mengumumkan rancangan berkenaan secara mengejut pada Selasa.

Tanpa penyertaan negara-negara Eropah termasuk Sepanyol, England, Perancis dan Jerman, Piala Dunia akan kehilangan nilai persaingannya. “Piala Dunia tidak boleh dianggap sebagai produk pelaburan. Ia merupakan antara warisan sukan bola sepak yang paling bernilai,” menurut kenyataan UEFA. - ©BERNAMA