Berangkat menyaksikan Piala FA Malaysia

21 Sep 2026 - 8:58am

Oleh : Marlinawaty Hussin

Foto : Mohamad Azmi Awang Haji Damit, Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid

BERAKAS, Ahad, 20 September. - DPMM FC terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 3 - 3 menentang Kuala Lumpur City FC dalam aksi suku akhir pertama Piala FA Malaysia Musim 2026 / 2027 di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, malam tadi.

Berkenan berangkat menyaksikan perlawanan berkenaan ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dijunjung oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha.

Berangkat sama ialah paduka adinda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik, Menteri di JPM.

DPMM FC membuka tirai jaringan pada minit ke-18 menerusi Jordan David Murray sebelum Kuala Lumpur City FC menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti Paulo Josue Sturmer Dos Reis pada minit ke-33.

Memasuki babak kedua,  DPMM FC kembali di depan apabila Awang Muhammad Farris Izdiham Awang Kechik menambah jaringan pada minit ke-54, sebelum Miguel Angelo Agostinho Oliveira mengukuhkan kedudukan empat minit kemudian untuk meletakkan pasukan tuan rumah di hadapan 3 - 1.

Walau bagaimanapun, Kuala Lumpur City FC enggan mengalah dan berjaya merapatkan jurang menerusi Muhamad Baqiuddin Shamsudin pada minit ke-72 sebelum Fareed Sadat menyamakan kedudukan 3 - 3, lima minit kemudian.

Keputusan itu menyaksikan kedua-dua pasukan masih mempunyai peluang untuk menentukan nasib masing-masing dalam aksi timbal balik yang dijadualkan berlangsung pada 11 Oktober 2026, Ahad, jam 8.15 malam di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, Malaysia.

Ketua Jurulatih DPMM FC, Jamie McAllister berkata, pasukannya mengawal permainan dengan baik terutama dalam tempoh 30 minit pertama sebelum beberapa kesilapan menyaksikan kelebihan yang dimiliki terlepas.

Menurutnya, beberapa keputusan terburu-buru ketika pemain keletihan serta kegagalan melakukan perkara asas menyumbang kepada dua gol terakhir Kuala Lumpur City FC.

"Kami menang sebagai satu pasukan, kalah sebagai satu pasukan dan seri sebagai satu pasukan. Saya tidak mahu menuding kepada mana-mana individu," katanya semasa sidang media yang berlangsung selepas perlawanan.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Kuala Lumpur City FC, Datuk Dollah Salleh, memuji semangat juang anak buahnya selepas berjaya bangkit daripada ketinggalan 3 - 1.

"Saya berbangga dengan para pemain. Walaupun kami ketinggalan 3 - 1, mereka menunjukkan semangat juang dan berjaya bangkit. Namun, dari segi prestasi keseluruhan, kami masih belum mencapai tahap yang saya harapkan," katanya.

Mengulas mengenai aksi timbal balik di Kuala Lumpur nanti, Datuk Dollah Salleh mengakui berdepan DPMM FC bukan tugas mudah sambil menyifatkan skuad kendalian Jamie McAllister sebagai pasukan yang kukuh.