Berita dan Foto : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi
BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 22 Ogos. – Semangat memperingati Hari Keputeraan Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam terus disemarakkan melalui Program Bersepadu Pertubuhan WARGAMAS Ke Brunei dan Muara 'Minal IPPW Ilal Masjid' yang berlangsung di Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid, Awang Haji Amir Hisham bin Haji Masri.
Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah, diikuti dengan ucapan alu-aluan Yang Dipertua Pertubuhan WARGAMAS, Awang Haji Abu Bakar bin Haji Mohd. Don, selaku Pengerusi Majlis.
Dalam ucapannya, Awang Haji Abu Bakar menjelaskan bahawa program bersepadu berkenaan antara lain bertujuan menzahirkan rasa syukur serta memperingati Hari Keputeraan Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam yang menjadi rahmat bagi seluruh alam.
Selain itu tambahnya, program berkenaan menjadi wadah untuk menyemarakkan bulan Rabiulawal dengan memperbanyakkan amal ibadah, di samping mengambil teladan daripada akhlak mulia Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.
Program turut memberi penekanan terhadap usaha mengeratkan silaturahim dan mahabbah antara pimpinan serta ahli Pertubuhan WARGAMAS daripada seluruh daerah bersama jemaah masjid.
Pengisian utama program diserikan dengan lantunan Dikir Syarafil Anam yang dibawakan oleh pendikir Pertubuhan WARGAMAS dan Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, selain Selawat Badriah yang dipersembahkan oleh Biro Warganita Pertubuhan WARGAMAS.
Suasana majlis bertambah meriah dengan persembahan Dikir Assalamualaika daripada pendikir Wargawira Pertubuhan WARGAMAS, diikuti Dikir Bisyahrin oleh jemaah Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah.
Majlis kemudiannya diteruskan dengan persembahan Selawat Badriah oleh Biro Warganita Pertubuhan WARGAMAS dan persembahan Marhaban secara gabungan oleh ahli Pertubuhan WARGAMAS serta jemaah masjid.
Sebagai tanda keprihatinan dan kasih sayang sesama masyarakat, Pertubuhan WARGAMAS turut menyampaikan sumbangan infak mulia kepada keluarga yang menerima bantuan dan ditimpa musibah kebakaran, iaitu Dayang Masaliha binti Haji Said yang disampaikan oleh tetamu kehormat majlis.
Majlis diakhiri dengan penyampaian cenderamata kenangan kepada tetamu kehormat majlis, diikuti Doa Selamat dan Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.
Program berkenaan bukan sahaja menyemarakkan penghayatan terhadap sirah dan akhlak Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, malah mencerminkan keprihatinan Pertubuhan WARGAMAS dalam memperkukuh ukhuwah, kebersamaan dan semangat saling membantu dalam kalangan masyarakat.