MoU mempromosi gaya hidup sihat

22 Nov 2026 - 7:27am

Oleh : Rohani Haji Abdul Hamid

Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid

BERAKAS, Sabtu, 21 November. - Gleneagles JPMC dan Kementerian Kesihatan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperbaharui komitmen tahunan dalam mempromosikan program gaya hidup sihat di tempat kerja, sekolah dan komuniti, pagi tadi.

Memasuki tahun kelapan berturut-turut, kerjasama antara sektor awam dan swasta berkenaan terus diperkukuh dengan memperluaskan pelaksanaan pelbagai inisiatif kesihatan pencegahan di tempat kerja, sekolah dan komuniti.

Usaha ini telah membuka lebih banyak peluang kepada orang ramai untuk mendapatkan pemeriksaan kesihatan, mengamalkan gaya hidup lebih sihat serta melibatkan diri dalam aktiviti yang menggalakkan penjagaan kesihatan.

Kerjasama tersebut menyokong tiga program di bawah Pusat Promosi Kesihatan (HPC) iaitu Program Workplace and Health (WAH), Program Happy Environment and Lifestyle (HEAL) serta Program Growing, Learning, Optimizing Towards Better Well-Being in Schools (GLOW).

Selain itu, kerjasama berkenaan turut merangkumi sokongan terhadap pelbagai inisiatif gaya hidup sihat yang lain, termasuk pendidikan pemakanan dan Program Cara Hidup Sihat (PCHS).

Majlis menandatangani MoU berkenaan berlangsung di Dewan Al-'Afiah dengan disaksikan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar, selaku tetamu kehormat.

Turut hadir, Menteri Kewangan II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah, selaku Pengerusi Gleneagles JPMC.

Menandatangani perjanjian bagi pihak kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui Kementerian Kesihatan ialah Setiausaha Tetap, Awang Haji Adi Ihram bin Dato Paduka Haji Mahmud, dan Ketua Pusat Promosi Kesihatan, Dr. Dayang Siti Rosemawati binti Haji Mohd. Yussof.

Sementara itu, Gleneagles JPMC diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Dr. Peter Tay, dan Ketua Pegawai Operasi, Awang 'Izzul Hamzi bin Haji Jomari.

Terdahulu dalam ucapan, Dr. Peter Tay berkata sejak kerjasama tersebut dimulakan pada tahun 2019, ia terus berkembang berlandaskan satu matlamat bersama, iaitu mempromosikan gaya hidup lebih sihat, memperkukuh penjagaan kesihatan pencegahan serta memperkasa masyarakat untuk mengambil tanggungjawab yang lebih besar terhadap kesihatan dan kesejahteraan diri masing-masing.

Menurut beliau, tanggungjawab Gleneagles JPMC sebagai sebuah institusi penjagaan kesihatan bukan sekadar menyediakan rawatan perubatan yang berkualiti, malah turut merangkumi usaha meningkatkan kesedaran, menggalakkan pencegahan serta membantu individu membuat pilihan yang tepat dan bermaklumat berkaitan kesihatan.

"Di Gleneagles JPMC, kami percaya bahawa tanggungjawab kami sebagai sebuah institusi penjagaan kesihatan melangkaui penyediaan rawatan perubatan yang berkualiti.

"Sama pentingnya ialah peranan kami dalam meningkatkan kesedaran, menggalakkan pencegahan dan membantu individu membuat pilihan yang tepat dan bermaklumat mengenai kesihatan mereka. Melalui kerjasama ini, kami terus menyokong tiga inisiatif penting promosi kesihatan," ujar beliau.

Sejurus pemeteraian MoU tersebut, Dr. Peter Tay, bagi pihak Gleneagles JPMC, turut menyampaikan sumbangan berjumlah BND250,000 kepada Yang Berhormat Menteri Kesihatan bagi pihak Kementerian Kesihatan. Sumbangan berkenaan akan dimanfaatkan bagi menyokong pelaksanaan program-program di bawah bidang kuasa HPC.

MoU tersebut menggariskan komitmen kedua-dua pihak untuk terus memperkukuh dan menyelaraskan usaha sedia ada serta meneroka inisiatif baharu dalam mempromosikan gaya hidup sihat.

Kerjasama berterusan itu juga bertujuan menyumbang kepada usaha pencegahan dan pengawalan Penyakit Tidak Berjangkit (NCD) di Negara Brunei Darussalam.