Pembedahan penggantian lutut berbantukan teknologi robotik berjaya dilaksanakan

25 Og 2026 - 7:29am

Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Kesihatan

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 24 Ogos. - Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) mencatat satu lagi pencapaian penting dalam perkembangan perkhidmatan ortopedik dengan jayanya melaksanakan buat pertama kalinya pembedahan penggantian lutut berbantukan teknologi robotik.

Hospital RIPAS kini melaksanakan kira-kira 80 prosedur Penggantian Keseluruhan Lutut (Total Knee Replacement) setiap tahun sebagai sebahagian daripada perkhidmatan penggantian sendi yang sedia ada.

Pada Isnin, 17 Ogos 2026, perkhidmatan berkenaan terus diperkembangkan dengan penggunaan teknologi berbantukan robotik bagi pembedahan penggantian lutut buat pertama kalinya.

Dua prosedur berjaya dilaksanakan, iaitu Penggantian Keseluruhan Lutut Berbantukan Robotik (Robotic-Assisted Total Knee Replacement) dan Penggantian Sebahagian Lutut Berbantukan Robotik (Robotic-Assisted Partial Knee Replacement).

Prosedur Penggantian Sebahagian Lutut tersebut turut mencatat sejarah sebagai pembedahan penggantian sebahagian lutut pertama yang dilaksanakan di Hospital RIPAS, sekali gus menjadi satu lagi perkembangan penting dalam perkhidmatan penggantian sendi hospital berkenaan.

Kedua-dua prosedur dilaksanakan oleh pasukan Ortopedik Hospital RIPAS dengan sokongan Pakar Perunding Bedah Ortopedik, Dr. Sim Wei Ping dari Khoo Teck Puat Hospital, Republik Singapura.

Kedua-dua pesakit merupakan wanita berusia 55 tahun yang mengalami kesakitan lutut yang ketara selama kira-kira tiga tahun sehingga menjejaskan pergerakan dan aktiviti harian mereka.

Hasil penilaian klinikal dan radiologi yang teliti, seorang pesakit memerlukan penggantian keseluruhan sendi lutut, manakala seorang lagi mengalami artritis yang kebanyakannya terhad kepada sebahagian lutut dan sesuai menjalani Penggantian Sebahagian Lutut, sekali gus membolehkan bahagian sendi yang masih sihat dikekalkan.

Pembedahan lutut berbantukan robotik menggabungkan kepakaran klinikal pakar bedah dengan perancangan berbantukan komputer serta teknologi berketepatan tinggi.

Sistem berkenaan menyediakan maklumat terperinci mengenai anatomi, penjajaran dan keseimbangan tisu lembut lutut pesakit, sekali gus membantu pakar bedah dalam perancangan pembedahan, penempatan implan dan memastikan keseimbangan lutut.

Walau bagaimanapun, sistem robotik berkenaan tidak melaksanakan pembedahan secara sendiri. Pakar bedah kekal mengawal sepenuhnya sepanjang prosedur, manakala teknologi tersebut berperanan sebagai alat berketepatan tinggi bagi menyokong proses membuat keputusan dan pelaksanaan pembedahan.

Mengulas mengenai pencapaian tersebut, Pakar Perunding Bedah Ortopedik dan Medical Superintendent Hospital RIPAS, Pengiran Dr. Noor Azmi bin Pengiran Dato Seri Setia Dr. Haji Mohammad, berkata pihaknya amat menghargai sokongan berterusan Kementerian Kesihatan dan Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam membolehkan perkhidmatan kesihatan terus berkembang dan menerima inovasi perubatan yang bersesuaian.

“Bagi kami, teknologi pada akhirnya adalah untuk meningkatkan penjagaan pesakit. Bantuan robotik menyediakan satu lagi alat untuk mempertingkatkan perancangan dan ketepatan pembedahan, di samping membolehkan kami membangunkan kemahiran dan pengalaman pasukan tempatan.

“Matlamat kami adalah untuk terus meningkatkan standard penjagaan ortopedik yang dapat kami sediakan di Negara Brunei Darussalam,” jelasnya.

Program berkenaan turut memberikan peluang penting bagi latihan secara praktikal, perkongsian ilmu dan pembangunan keupayaan kepada pasukan Ortopedik, kejururawatan dan dewan bedah tempatan.

Kejayaan melaksanakan kedua-dua prosedur berkenaan memberikan pengalaman tempatan yang amat bernilai ketika Hospital RIPAS terus meneroka dan menilai bagaimana kemajuan teknologi pembedahan dapat menyumbang kepada perkembangan serta peningkatan mutu perkhidmatan ortopedik pada masa hadapan.

Kedua-dua pesakit kini sedang dalam proses pemulihan selepas menjalani prosedur berkenaan dan akan mengikuti program pemulihan secara berstruktur sebagai sebahagian daripada proses pemulihan mereka.

Pencapaian tersebut mencerminkan komitmen berterusan Kementerian Kesihatan dalam memperkukuh perkhidmatan kesihatan kepakaran, membangunkan kepakaran tempatan serta menerima inovasi perubatan yang bersesuaian dalam usaha menyediakan penjagaan kesihatan berkualiti tinggi dan berpusatkan pesakit bagi rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam.