Pertandingan Perahu Berhias meriahkan Pesta Seni Rakyat 2026

23 Og 2026 - 7:07am

Berita dan Foto : Ak. Mohamad Zaki Pg. Haji Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 22 Ogos. - Ribuan penduduk dan rakyat di negara ini tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan acara Pertandingan Perahu Berhias yang diadakan bersempena Pesta Seni Rakyat 2026 yang dianjurkan oleh B-jaur Events, bertempat di Dermaga Diraja, di ibu negara pada malam tadi.

Pertandingan Perahu Berhias berkenaan menyaksikan sebanyak 12 buah perahu tradisional dan moden yang dihias indah mengikut tema-tema kebudayaan dengan mempamerkan kehalusan seni ukiran, warna-warni motif etnik, serta pencahayaan lampu yang cukup memukau tambahan lagi ketika menyusuri Sungai Brunei.

Apa yang menariknya lagi ialah pemilihan pemenang dalam Pertandingan Perahu Berhias yang berlangsung malam tadi akan ditentukan melalui undian awam di akaun Instagram dan diumumkan di akaun rasmi Instagram Pesta Seni Rakyat sekali gus pemenangnya akan menerima hadiah berupa wang tunai sebanyak BND500.

Pesta Seni Rakyat berkenaan merupakan acara selama lima hari di kawasan perairan Brunei di ibu negara yang menghimpunkan para peniaga tempatan, seni, budaya serta komuniti kreatif di negara ini.

Para pengunjung juga berpeluang meneroka gerai-gerai yang menawarkan pelbagai pilihan makanan, kopi dan kraf tangan dan fesyen serta barangan terpakai di samping turut menawarkan pelbagai aktiviti menarik di sepanjang berlangsungnya festival berkenaan.