Rombongan Dikir PGGMB semarakkan Sambutan Maulud di Masjid Muhammad Jamalul Alam

23 Og 2026 - 7:32am

Berita dan Foto : Ihsan Persekutuan Guru-Guru Melayu Brunei

 

KUALA BELAIT, Sabtu, 22 Ogos. - Rombongan Dikir Persekutuan Guru-Guru Melayu Brunei (PGGMB) sempena Sambutan Hari Keputeraan Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam meneruskan kunjungan ke Masjid Muhammad Jamalul Alam, Kuala Belait, semalam.

Rombongan diketuai oleh Yang Di-Pertua PGGMB, Awang Haji Mustapa bin Haji Masri, dan turut disertai oleh Ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi, guru-guru Sekolah PGGMB serta ahli-ahli PGGMB.

Pada majlis berkenaan, rombongan mempersembahkan beberapa buah dikir, antaranya Assalai, Badat dan Asyraqal serta lagu-lagu dikir yang lain.

Rombongan tersebut disambut oleh Imam Masjid Muhammad Jamalul Alam, Awang Afiq Hairire bin Haji Mat Daud, bersama Jawatankuasa Takmir dan para jemaah masjid.

Persembahan dikir yang dibawakan oleh rombongan PGGMB mendapat sambutan menggalakkan daripada para jemaah yang hadir dan turut menyemarakkan suasana majlis dalam memperingati kelahiran junjungan agung Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam.