Siaran Akhbar : Brunei Darussalam Central Bank
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 30 Julai. - Brunei Darussalam Central Bank (BDCB) ingin mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan video yang direka atau dimanipulasi menggunakan Kecerdasan Buatan (Al) yang mungkin kelihatan realistik, tetapi sebenarnya mengandungi maklumat palsu atau mengelirukan.
Amaran berkenaan dikeluarkan berikutan penularan sebuah video yang menyalahgunakan nama BDCB dan menyamar sebagai pihak berkuasa, di samping membuat dakwaan bahawa produk yang dipromosikan mematuhi piawaian BDCB.
BDCB ingin menjelaskan bahawa BDCB tidak pernah menilai, meluluskan atau menyokong skim pelaburan atau produk yang dipaparkan dalam video berkenaan. Sebagai pengawal selia sektor kewangan Negara Brunei Darussalam (NBD), BDCB tidak menawarkan produk atau perkhidmatan kewangan kepada orang ramai, dan juga tidak mempromosikan atau menyokong mana-mana skim atau platform pelaburan.
Video sedemikian biasanya disebarkan melalui media sosial dan sering menggunakan identiti, imej atau suara pihak berkuasa kerajaan dan tokoh awam untuk meraih kepercayaan orang ramai. Video berkenaan juga mungkin mengandungi dakwaan sensasi atau menjanjikan pulangan yang tinggi agar orang ramai membuat pembayaran, memberikan maklumat peribadi atau kewangan, atau mengakses laman sesawang atau aplikasi yang tidak sah.
Sehubungan itu, BDCB ingin menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dengan mengesahkan sumber maklumat, iaitu jangan terus mempercayai atau mengongsikan video dan kandungan lain yang disebarkan melalui media sosial.
Sentiasa sahkan sama ada maklumat berkenaan telah diterbitkan melalui laman sesawang atau akaun media sosial rasmi BDCB. Sekiranya terdapat keraguan, sila rujuk saluran rasmi atau hubungi BDCB secara langsung.
Sementara itu, berwaspada terhadap penyamaran dan dakwaan sensasi, iaitu berhati-hati dengan video yang menggunakan nama, imej atau suara pihak-pihak berkuasa, tokoh awam atau wakil BDCB untuk mempromosikan peluang pelaburan. Orang ramai juga hendaklah berwaspada terhadap dakwaan yang menjanjikan pulangan tinggi atau terjamin dalam tempoh yang singkat.
Manakala mengelakkan entiti yang tidak berlesen, iaitu hanya berurusan dengan institusi kewangan dan entiti yang berlesen atau dikawal selia oleh BDCB. Jika awda berurusan dengan entiti yang tidak berlesen atau tidak dikawal selia, awda tidak akan dilindungi di bawah rangka kerja pengawalseliaan BDCB.
Rangka kerja berkenaan bertujuan untuk melindungi pengguna kewangan dengan memastikan hanya entiti yang berkelayakan dan berlesen dibenarkan menyediakan perkhidmatan kewangan.
Sementara melindungi maklumat peribadi dan kewangan, iaitu jangan memberikan maklumat peribadi, perbankan atau kewangan, kata laluan, kata laluan sekali guna atau kod keselamatan sebagai respons kepada video, mesej, laman sesawang atau aplikasi yang mencurigakan.
Manakala melaporkan kandungan yang mencurigakan, iaitu laporkan sebarang aktiviti kewangan yang mencurigakan kepada Isu Pengguna Kewangan, BDCB menerusi talian +673 2380007 atau +673 8380007, atau melalui e-mel fci@bdcb.gov.bn.
Orang ramai juga boleh melaporkan kandungan yang mencurigakan secara langsung kepada platform media sosial yang berkenaan dan kepada Brunei Computer Emergency Response Team (BruCERT) melalui talian Hotline +673 2458001, e-mel reporting@brucert.org.bn atau WhatsApp +673 7170766.
BDCB juga ingin menekankan bahawa menyalahgunakan nama atau logo BDCB, atau menggunakan nama atau logonya tanpa kebenaran, adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 74A Perintah BDCB, 2010. Kesalahan berkenaan membawa hukuman denda tidak melebihi BND20,000, penjara bagi tempoh tidak melebihi tujuh tahun, atau kedua-duanya sekali.
Di mana aktiviti berkenaan melibatkan penyamaran bagi tujuan menipu, ia juga boleh menjadi suatu kesalahan di bawah Bab 419 Kanun Hukuman Jenayah, Penggal 22. Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dihukum penjara bagi tempoh tidak melebihi tujuh tahun dan didenda.
Di samping itu, penyebaran maklumat palsu yang berkemungkinan menyebabkan ketidaktenteraman orang ramai merupakan suatu kesalahan jenayah di bawah Bab 34 Akta Ketenteraman Awam, Penggal 148. Kesalahan berkenaan membawa hukuman denda sebanyak BND3,000, penjara selama tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
BDCB komited untuk mengekalkan kestabilan kewangan NBD di samping melindungi sistem kewangan dan pengguna kewangan di negara ini. BDCB akan terus memantau aktiviti kewangan yang mencurigakan dan tidak berlesen, serta bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa yang berkenaan untuk menangani kandungan berunsur penipuan.
Untuk mendapatkan senarai institusi kewangan yang berlesen di bawah BDCB serta BDCB Alert List, sila layari laman sesawang BDCB di www.bdcb.gov.bn.