DPMM FC bangkit tewaskan Kuching FC 3 - 2

19 Okt 2026 - 5:10am

Oleh : Muhamad Khairul Hisyam Haji Jaya

Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said

BERAKAS, Ahad, 18 Oktober. - Pasukan DPMM FC meneruskan rentak cemerlang apabila berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah dalam tiga perlawanan selepas menewaskan Kuching City FC dengan keputusan 3 - 2 pada aksi Liga Super Malaysia yang berlangsung di Stadium Negara Hassanal Bolkiah.

DPMM FC memulakan perlawanan dengan langkah kanan apabila mendahului seawal minit keenam menerusi tandukan penyerang, Dalberto Luan Belo, yang berjaya menembusi gawang Kuching City FC.

Bagaimanapun, Kuching City FC tidak mensia-siakan peluang apabila diberikan sepakan percuma yang menembusi benteng DPMM FC, hasil sepakan Dylan Wenzel-Halls menjadikan kedudukan 1 - 1 sehingga akhir babak pertama perlawanan.

Memasuki babak kedua, Kuching City FC terus memberi tekanan apabila Dylan Wenzel-Halls sekali lagi menambah jaringan menerusi tendangan bola yang meleret masuk ke gawang DPMM FC untuk meletakkan pasukannya di hadapan.

Situasi perlawanan berubah apabila pemain Kuching City FC, Petrus Shitembi, dilayangkan kad merah selepas menerima dua kad kuning, menyebabkan pasukannya terpaksa meneruskan perlawanan dengan 10 pemain.

Kelebihan itu dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh DPMM FC apabila ketua pasukan, Azwan Ali Rahman, menyempurnakan sepakan percuma untuk menyamakan kedudukan 2 - 2.

DPMM FC mengambil kesempatan ke atas Kuching City FC yang hanya bermain dengan 10 pemain, dengan menjaringkan gol yang ketiga melalui tendang meluru daripada Dalberto Luan Belo.

Kedudukan kekal 3 - 2 sehingga wisel penamat dibunyikan, sekali gus menyaksikan DPMM FC meraih kemenangan penting untuk meneruskan rekod tanpa kalah dalam tiga perlawanan.

Perlawanan seterusnya, DPMM FC akan menentang pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam perlawanan separuh akhir pertama Piala FA dijadualkan pada 23 Oktober ini.