Berita dan Foto : Ak. Mohamad Zaki Pg. Haji Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 19 Oktober. - Kejohanan Badminton Irau Tupeh Padey 2026 anjuran Persatuan Lun Bawang Murut Brunei (PLBMB) melabuhkan tirainya malam tadi setelah berlangsung selama tiga hari bermula 16 hingga 18 Oktober 2026 bertempat di Pusat Belia, Bandar Seri Begawan.
Kejohanan tahunan berkenaan pada kali ini berjaya menarik penyertaan seramai 100 peserta yang bertanding dalam pelbagai kategori yang dipertandingkan.
Hadir bagi menyempurnakan Majlis Penyampaian Hadiah kepada para pemenang, Dipertua PLBMB, Leftenan Kolonel (B) Tamin bin Tuah; dan Timbalan Yang Dipertua PLBMB, Dayang Mariam binti Ulat.
Pemenang bagi Kategori Beregu Lelaki Veteran ialah gandingan Lim Chuen Fue dan Lim Sun Hui; manakala bagi Kategori Beregu Wanita Veteran pula dimenangi oleh pasangan Ayesha Apoi dan Nurul Abdullah Balang.
Sementara itu, bagi Kategori Beregu Terbuka Lelaki pula dimenangi oleh Mikal Sungkai dan Yohanes Sumbat; manakala bagi Kategori Beregu Terbuka Wanita pula disandang oleh Maryanne Yangkai dan Christina Angellia Dollah.
Manakala gandingan pasangan Hanieel Razali dan Mohd. Norazri Hamzah pula berjaya memenangi bagi Kategori Terbuka (Novice).
Kejohanan Badminton Irau Tupeh Padey 2026 berkenaan bertujuan untuk memupuk semangat perpaduan dan kerjasama dalam kalangan masyarakat Lun Bawang di negara ini, di samping mengasah potensi dan bakat baharu sukan badminton.