Oleh : Nooratini Haji Abas
Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman
TUTONG, Ahad, 18 Oktober. - Pasukan Brunei Muara ‘A’ muncul juara Perlawanan Akhir Bola Sepak Empat Penjuru antara Daerah-daerah selepas mengumpul 10 mata dalam kejohanan anjuran Majlis Perundingan Kampung (MPK) Bukit Udal dan Penapar dengan kerjasama 60 Series Golden Members FC yang berlangsung petang tadi di Padang Kompleks Sukan Tutong, di sini.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awang Haji Mohammad Sofian bin Haji Basri, yang seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang.
Pasukan Brunei Muara ‘A’ membawa pulang piala dan pingat selaku juara, manakala Daerah Tutong menduduki tempat kedua dengan mengutip lapan mata dan menerima pingat.
Sementara itu, pasukan Daerah Temburong mengumpul empat mata, diikuti Brunei Muara ‘B’ dengan tiga mata dan Daerah Belait dengan satu mata. Ketiga-tiga pasukan berkenaan turut menerima pingat.
Perlawanan berkenaan melibatkan lima buah pasukan yang mewakili keempat-empat daerah di Negara Brunei Darussalam, iaitu dua pasukan dari Daerah Brunei dan Muara serta masing-masing satu pasukan dari Daerah Tutong, Daerah Belait dan Daerah Temburong.
Kejohanan tersebut turut menarik penyertaan pemain-pemain veteran yang kebanyakannya berusia 58, 59 dan 60 tahun ke atas, sekali gus memperlihatkan komitmen golongan berkenaan untuk terus aktif dalam kegiatan sukan walaupun pada usia yang lebih lanjut.
Penyertaan pemain veteran dalam perlawanan tersebut bukan sahaja mencerminkan minat dan kecintaan mereka terhadap sukan bola sepak, malah memberikan peluang untuk terus beriadah dalam suasana yang sihat dan penuh kemesraan bersama rakan-rakan dari daerah lain.
Penganjuran kejohanan seumpama ini juga menjadi platform untuk para pemain veteran berkumpul dan berinteraksi, di samping mengeratkan hubungan persahabatan antara peserta yang datang dari keempat-empat daerah.
Selain itu, kegiatan berkenaan selaras dengan usaha menggalakkan masyarakat, khususnya golongan veteran, untuk mengamalkan gaya hidup yang aktif melalui penglibatan dalam aktiviti sukan dan riadah.
Penglibatan lima buah pasukan dari keempat-empat daerah turut memperlihatkan bahawa aktiviti sukan mampu menjadi salah satu wadah dalam memperkukuh hubungan kemasyarakatan dan semangat perpaduan dalam kalangan penduduk di Negara Brunei Darussalam.
Acara diakhiri dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang, diikuti sesi bergambar bersama tetamu kehormat, para pemain, urus setia dan pihak-pihak yang terlibat dalam menjayakan kejohanan berkenaan.