Berita dan Foto : Nurdiyanah Rajami
BERAKAS, Ahad, 18 Oktober. - Persatuan Kanak-Kanak Cacat (KACA) Negara Brunei Darussalam (NBD) pagi tadi mengadakan Program Walkaton KACA 2026 Sempena Ulang Tahun KACA Ke-40 (1986-2026) bertempat di Taman Rekreasi Jalan Menteri Besar, Berakas.
Program berkenaan disertai oleh ahli Persatuan KACA keempat-empat daerah termasuk para ibu bapa, penjaga dan ahli keluarga, golongan sukarelawan serta orang ramai.
Hadir selaku tetamu kehormat bagi sama-sama menyertai kemeriahan program berkenaan ialah Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Dayang Hajah Noridah binti Abdul Hamid.
Turut hadir ialah Presiden KACA, Dato Paduka Haji Zainal bin Haji Momin yang juga selaku Penasihat Program Walkaton KACA 2026; Pengarah Urusan KACA, Awang Haji Abdul Alim bin Awang Haji Othman selaku Pengerusi Program Walkaton KACA 2026; serta ahli-ahli jawatankuasa persatuan tersebut.
Program dimulai dengan bacaan Surah Al-Fatihah, diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Awang Haji Abdul Alim yang menekankan bahawa Walkaton KACA 2026 bukan sekadar aktiviti riadah, tetapi ia merupakan satu platform untuk mengukuhkan silaturahim, meningkatkan kesedaran masyarakat serta menunjukkan sokongan keprihatinan terhadap komuniti Orang Kelainan Upaya (OKU).
Pada masa ini, KACA mempunyai seramai 618 orang warga dari keempat-empat daerah di negara ini. Angka ini jelasnya bukan sekadar jumlah, tetapi ia melambangkan amanah, kepercayaan dan tanggungjawab yang besar kepada KACA untuk terus memberikan sokongan serta perkhidmatan yang berkualiti kepada setiap ahli dan keluarga KACA.
Beliau turut menambah bahawa KACA sentiasa menggalakkan perkongsian ilmu, pengalamandan amalan terbaik melalui pelbagai usaha, termasuk lawatan kerja untuk staf, ibu bapa dan sukarelawan sama ada di dalam mahupun luar negara.
Usaha tersebut bertujuan meningkatkan pengetahuan, kemahiran serta jaringan kerjasama, di samping membolehkan warga KACA mempelajari pendekatan baharu yang boleh dimanfaatkan bagi memperkukuh perkhidmatan persatuan di negara ini.
Dalam pada itu, Awang Haji Abdul Alim turut menjelaskan bahawa ulang tahun ke-40 tahun KACA ini bukanlah satu tempoh yang singkat, ia merupakan perjalanan yang penuh dengan cabaran, pengorbanan, usaha dan kerjasama daripada pelbagai pihak yang sentiasa memberikan sokongan kepada KACA.
"Justeru, sambutan ulang tahun ke-40 ini bukan sekadar untuk mengenang perjalanan KACA selama empat dekad, tetapi juga menjadi titik permulaan untuk kita melihat jauh ke hadapan, khususnya dalam melaksanakan pelbagai program dan aktiviti yang telah disusun bagi tempoh lima tahun dari 2026 hingga 2030.
"Atas dasar inilah, walkaton 40 tahun KACA diadakan. Walkaton ini bukan sekadar sebuah akitviti riadah atau perhimpunan masyarakat. Lebih daripada itu, ia merupakan satu wadah untuk mengumpul dana bagi menyokong pelaksanaan program dan aktiviti KACA sepanjang tempoh 2026 hingga 2030," jelas beliau.
Selain itu, Awang Haji Abdul Alim lagi antaranya turut mengongsikan bermula tahun 2027, KACA berhasrat untuk memperluaskan perkhidmatan home-based iaitu lawatan ke rumah-rumah ahli KACA ke semua daerah di NBD.
"Usaha ini penting kerana kita mahu memastikan bahawa perkhidmatan dan perhatian KACA dapat sampai lebih dekat kepada ahli-ahli kita, termasuk mereka yang mungkin mempunyai kesukaran untuk mendapatkan perkhidmatan secara center-based. Ini adalah sebahagian daripada komitmen KACA untuk memastikan tiada ahli yang merasa tersisih atau dilupakan," ujarnya.
Sebelum acara kemuncak walkaton bermula, sesi senamrobik dan taklimat keselamatan turut diketengahkan kepada para peserta yang hadir.
Antara aktiviti tahunan yang dikendalikan oleh KACA ialah Projek Menabung KACA 5 Tahun; Peraduan Menulis Esei Sekolah Rendah Kebangsaan Kerajaan dan Swasta bagi Tahun 4 hingga 6; dan Peraduan Mari Bercerita, Mewarna dan Senyum di peringkat kebangsaan.
Penganjuran Walkaton KACA 2026 dihasrat bagi meningkatkan kesedaran dan juga membudayakan ahli masyarakat ke arah semangat perpaduan agar lebih perhatian kepada golongan yang memerlukan seperti insan-insan berkeperluan khas.
Di samping itu, ia juga dihasrat untuk terus mengeratkan hubungan kekeluargaan dan persahabatan antara golongan ibu bapa atau penjaga ahli Persatuan KACA NBD, sukarelawan-sukarelawan dan juga para pegawai dan kakitangan Persatuan KACA NBD menerusi pelbagai aktiviti yang diungkayahkan sepanjang tahun.