Oleh : Nurul Rasyidah Mohamad Rosland
Foto : Ihsan Fatin Afiqah Md. Asrul Saniy
DARIPADA pengalaman hidup kepada usaha memperkasa masyarakat, anak jati Temburong ini membuktikan bahawa sebuah cerita mampu menjadi pemangkin kepada perubahan. Latar belakang kehidupan bukan penghalang untuk mencapai kejayaan, malah boleh menjadi sumber kekuatan dalam membina masa depan yang bermakna.
Prinsip inilah yang menjadi pegangan Dayang Fatin Afiqah binti Md. Asrul Saniy, belia berumur 29 tahun yang memanfaatkan seni, penulisan dan penceritaan kreatif sebagai medium untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap pelbagai isu sosial.
Berbekalkan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Terapi Ekspresif Kreatif dari University Of Derby, United Kingdom serta Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling, beliau menjadikan ilmu dan pengalaman peribadi sebagai asas untuk menyumbang kepada masyarakat.
Timbul minat
Minatnya dalam bidang berkenaan bermula daripada pengalaman membesar dalam keluarga yang mempunyai warisan masyarakat peribumi serta ahli keluarga dengan kepelbagaian neurologi (neurodivergent). Sejak kecil, beliau berhadapan dengan pengalaman diskriminasi dan menyaksikan sendiri bagaimana insan terdekat turut menghadapi prasangka, layanan tidak adil serta cabaran untuk mendapatkan penerimaan masyarakat.
Pengalaman tersebut mendorong beliau untuk memahami kepentingan meningkatkan kesedaran masyarakat dan memperjuangkan keterangkuman sosial. Beliau menyedari bahawa usaha membawa perubahan memerlukan komitmen berterusan, kredibiliti serta kepercayaan masyarakat.
“Untuk mencapai hasrat tersebut, saya perlu bekerja keras bagi membina kredibiliti, mendapatkan kepercayaan masyarakat serta mewujudkan sebuah platform yang membolehkan saya mengetengahkan isu-isu yang sering kurang mendapat perhatian,” ujar Dayang Fatin Afiqah.
Beliau juga menyedari bahawa perbincangan mengenai isu sosial yang kompleks dan sensitif kadangkala memerlukan pendekatan yang lebih dekat dengan kehidupan seharian masyarakat. Cerita, watak dan pengalaman manusia boleh menjadikan medium untuk menyampaikan mesej yang sukar dibincangkan secara langsung, di samping membantu pembaca memahami perspektif yang berbeza.
Berdasarkan pemahaman tersebut, beliau mula meneroka potensi penceritaan kreatif sebagai pendekatan untuk menyampaikan isu sosial dengan cara yang lebih mudah difahami, dekat di hati dan mampu menyentuh emosi masyarakat daripada pelbagai latar belakang.
“Bagi saya, penceritaan bukan sekadar satu bentuk hiburan, tetapi juga jambatan yang menghubungkan pengalaman manusia, memupuk empati dan membuka ruang kepada perubahan,” tambah Dayang Fatin Afiqah.
Usaha tersebut turut mendorong beliau membangunkan Parabelle Studios, sebuah platform yang menggabungkan kreativiti dengan usaha meningkatkan kesedaran sosial. Antara matlamatnya adalah untuk mengetengahkan bakat kreatif tempatan serta membuka ruang kepada masyarakat untuk memahami cabaran yang dihadapi oleh golongan yang kurang mendapat perhatian, termasuk keluarga yang mempunyai anak autisme dan individu yang berhadapan dengan penyakit seperti kanser.
Karya kreatif dan pengiktirafan
Dalam bidang penulisan, beliau telah menghasilkan beberapa karya, antaranya The Bubble Princess & The Stone Heart (2021), Bubbly Thoughts for the Stone Hearted (2022) serta beberapa buku kanak-kanak seperti Hermit (2022), Sideways and Seaways (2023), A Monkey’s Duty (2023) dan Aya the Can-do Kid (2024).
Komitmen beliau dalam bidang kreativiti dan pembangunan masyarakat turut mendapat pengiktirafan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Antara pencapaian yang diraih termasuklah Women of the Future Awards 2023, Leading Lights & Kindness Awards 2024 serta Commonwealth Youth Awards 2026 dan Queen Elizabeth Commonwealth Trust Awards 2026.
Baru-baru ini, beliau juga telah menerima Anugerah Hari Belia Kebangsaan 2026 dalam Kategori Belia Cemerlang di Negara Brunei Darussalam.
Pengiktirafan tersebut mencerminkan usaha berterusan beliau dalam memanfaatkan kreativiti untuk membawa perubahan positif, khususnya dalam meningkatkan kesedaran masyarakat dan memperkukuh keterangkuman sosial.
Ketabahan menghadapi cabaran
Walau bagaimanapun, perjalanan membina organisasi berkenaan bukanlah mudah. Sepanjang enam tahun membangunkan Parabella Studios, beliau berhadapan dengan pelbagai cabaran, termasuk kekangan kewangan, penolakan, diskriminasi dan kesukaran memastikan kelangsungan organisasi. Kebanyakan projek dilaksanakan secara sukarela atau menggunakan dana sendiri.
Melalui bimbingan mentor dan sokongan komuniti seni tempatan, beliau mempelajari kepentingan pengurusan kewangan, perancangan strategik serta penjagaan kesejahteraan diri. Pengalaman tersebut mengajarnya bahawa kegagalan bukanlah penentu nilai seseorang, sebaliknya boleh dijadikan peluang untuk menimba pengalaman, belajar dan memperbaiki diri.
Beliau turut berpandangan bahawa kejayaan tidak semestinya diukur melalui pekerjaan tetap atau kestabilan kewangan semata-mata. Sebaliknya, sumbangan yang memberikan kesan positif kepada kehidupan seseorang juga mempunyai nilai yang besar.
Harapan untuk generasi muda
Harapan Dayang Fatin Afiqah kepada golongan belia di negara ini ialah beliau menyeru agar generasi muda berani memasang impian, mencuba perkara baharu dan tidak mudah berputus asa apabila berhadapan dengan kegagalan. Beliau juga menggalakkan belia supaya berani memilih laluan yang berbeza daripada kebiasaan serta memanfaatkan ilmu dan bakat untuk memberikan sumbangan kepada masyarakat.
Pada masa yang sama, beliau berharap agar masyarakat terus memberikan sokongan dan peluang kepada penggiat seni tempatan, khususnya mereka yang memerlukan lebih banyak ruang untuk mengembangkan bakat dan membina kerjaya yang mampan.
Beliau juga berhasrat untuk mengembangkan Parabelle Studios sebagai platform yang dapat menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan, latihan industri dan program bimbingan kepada golongan belia, khususnya graduan dan penggiat seni.
Selain itu, beliau bercita-cita melanjutkan pengajian ke peringkat Doktor Falsafah (Ph.D) bagi memperkukuh kepakaran dalam bidang penceritaan, budaya dan pendekatan kreatif untuk kesejahteraan masyarakat.
Bagi Dayang Fatin Afiqah, kejayaan bukan sekadar pencapaian peribadi, tetapi sejauh mana seseorang mampu membantu orang lain untuk berkembang bersama. Beliau percaya bahawa perubahan besar tidak semestinya bermula dengan pengaruh yang luas, malah boleh tercetus daripada sebuah cerita yang menyentuh hati, membuka minda dan meningkatkan pemahaman masyarakat.