Langkah kecil menuju impian

29 Og 2026 - 10:43am

Oleh dan Ilustrasi : Ali.Mnh

DI saat malam menyelimuti bumi dengan hamparan gelapnya, bintang-bintang berkelipan menghiasi kegelapan malam, ada satu nama yang sentiasa bersemadi dalam hati seorang insan bernama Luqman.

Dari dulu lagi, impian Luqman untuk menjadi seorang insan yang berjaya dan mampu membanggakan keluarganya. Namun, kehidupannya tidak semudah yang dibayangkan. Dia berasal daripada keluarga yang sederhana, malah sering berdepan dengan pelbagai cabaran yang menguji kekuatan hati dan semangatnya. Ayahnya sudah lama meninggal dunia sejaknya kecil dan dia hanya tinggal bersama ibunya yang sudah lama bersara dan kini penjual kuih muih di gerai.

Bagi Luqman, impian itu bukan sekadar angan-angan yang hanya bermain dalam fikirannya. Ia adalah suatu yang perlu dikejar dengan usaha yang gigih, kesabaran yang tinggi dan doa yang bersungguh-sungguh. Setiap kali melihat rakan-rakannya memiliki kelebihan yang jauh lebih baik dari dirinya, kadangkala hatinya berasa kecil dan tertanya-tanya adakah dia mampu mencapai cita-citanya dan mengharumkan nama keluarganya. Namun, kata-kata ibunya sentiasa menjadi sumber kekuatan dan suntikan semangat baginya.

Suatu ketika, ibunya melihat Luqman terduduk diam di depan pintu selepas pulang dari sekolah lalu berkata, “Anakku, jangan pernah merasakan dirimu kurang hanya kerana kamu tidak memiliki apa yang orang lain ada. Kejayaan bukan diukur daripada siapa yang bermula lebih awal, tetapi siapa yang tidak berhenti melangkah,” pesan ibunya.

Ungkapan itu sentiasa tersemat dalam hati Luqman. Dia mula memahami bahawa setiap orang mempunyai perjalanan hidup yang berbeza. Ada yang berjaya dengan cepat, tetapi ada juga yang perlu melalui jalan yang panjang dan berliku sebelum mencapai impian yang diinginkan.

“Ibu, saya sudah berusaha sedaya upaya tetapi keputusan saya masih belum seperti yang saya harapkan. Mungkin saya tidak cukup bijak untuk mencapai impian saya,” jawab Luqman dengan nada perlahan.

Ibunya tersenyum lalu berkata, “Kegagalan bukanlah tanda kamu perlu berhenti. Ia hanya satu pelajaran supaya kamu tahu bagaimana untuk menjadi lebih kuat. Sedangkan pokok yang tinggi lagi bermula daripada sebiji benih yang kecil. Yang penting jangan berhenti tumbuh. Sabar, usahakan saja. Mama sentiasa mendoakan yang terbaik untuk Luqman”.

Kata-kata itu membuatkan Luqman kembali bangkit. Dia sedar bahawa kegagalan bukanlah pengakhiran kepada impian tetapi sebahagian daripada menuju kejayaan. Hari peperiksaan sudah pun semakin hampir, Luqman mula memperbaiki cara belajarnya, meminta bantuan guru dan tidak malu bertanya apabila tidak memahami sesuatu perkara. Walaupun sering kali mendapat keputusan yang tidak baik di sekolah, ia tidak memutuskan harapan dan semangat Luqman untuk terus belajar dan berusaha dengan sedaya upaya.

Ketika hari peperiksaan sudah tiba, Luqman menziarahi pusara ayahnya bersama ibunya sebelum berangkat ke sekolah dan memohon doa agar segala urusannya dipermudahkan ketika menghadapi peperiksaan yang menentukan jalan hidupnya.

“Walaupun ayah sudah lama pergi, Luqman akan tetap mendoakan untuk ayah dan sentiasa berusaha demi membanggakan ayah,” jelasnya.

Hari demi hari berlalu, usahanya mula membuahkan hasil. Luqman yang dilihat dahulunya hanya sebagai seorang pelajar yang dungu mula memperjuangkan pembelajarannya dengan kesungguhan. Namun, Luqman tetap merendahkan diri kerana dia menyedari bahawa kejayaan bukan sahaja hasil daripada dirinya sendiri tetapi juga berkat doa ibunya, tunjuk ajar guru dan sokongan orang sekelilingnya.

Setelah musim peperiksaan selesai, Luqman menghabiskan masanya dengan menolong ibunya menjual kuih-muih di gerai. Ketika sampai di rumah setelah berjaja, ibunya melihat Luqman yang hanya duduk termenung di meja dapur. Wajah anaknya jelas menunjukkan kerisauan yang mendalam.

“Luqman, jangan risau terhadap peperiksaanmu yang sudah lalu, tunggu saja keputusannya dan perbanyakanlah doa, berserah dirilah kepada Allah Ta’ala,” ungkap ibunya.

“Kesungguhanmu yang ibu lihat sudah cukup menyejukkan hati ibu. Kadangkala Allah Ta’ala melambatkan sesuatu bukan kerana dia tidak memberi, tetapi dia sedang mempersiapkan untuk sesuatu yang lebih baik,” tambah ibunya. Kata-kata itu membuatkan hati Luqman kembali tenang dan dia bersyukur dengan usaha yang sudah dilakukannya.

Setelah beberapa minggu, keputusan peperiksaan sudah pun dimaklumkan oleh pihak sekolah. Ketika perjumpaan bersama guru, hati Luqman penuh debaran menantikan keputusannya.

Dia tidak menyangka dengan mendapatkan keputusan yang sangat cemerlang dan dapat melanjutkan pembelajarannya ke institusi yang lebih tinggi lagi. Hatinya yang penuh kegembiraan dan rasa bersyukur atas segala usahanya terbalas dengan keputusan yang amat menggalakkan. Dia juga dinobatkan sebagai pelajar cemerlang di sekolahnya sekali gus merangkul anugerah pelajar contoh.

Setelah selesai perjumpaan, guru kelasnya lalu berkata, “Luqman, cikgu lihat kamu semakin berusaha dalam ingin mencapai cita-citamu. Selepas ini, kamu akan melangkah ke alam universiti. Ingatlah, jangan berhenti melangkah. Kadangkala kejayaan besar bermula daripada langkah kecil yang dilakukan setiap hari,” pesan cikgunya. Kejayaan itu membuatkan Luqman berasa bangga dan bersyukur atas usaha yang telah dia lakukan selama ini.

Beberapa bulan kemudian, Luqman berjaya melanjutkan pelajarannya ke institusi yang diimpikannya. Dia berdiri seketika di hadapan pintu universiti sambil mengimbau kembali perjalanan hidupnya. Dia teringat saat-saat sukar yang mencabar kekuatan hatinya. Kesukaran yang pernah membuatnya hampir berputus asa dan nasihat ibunya yang sentiasa menjadi pembakar semangat. Luqman tersenyum kerana menyedari bahawa setiap langkah kecil yang dahulunya telah membawa ke tempat yang lebih jauh daripada yang pernah dibayangkan.

Pada hari itu, Luqman menggenggam tangan ibunya sambil menahan air mata. Dia menganggap bahawa ibunyalah yang membantunya untuk berjaya ke tahap yang lebih tinggi. Manakala, ibunya juga tidak menyangka akan anaknya bahawa usaha yang gigih Luqman itu dapat menyinari masa depan anaknya.

“Ibu, terima kasih kerana tidak pernah membiarkan saya berhenti bermimpi. Terima kasih mendoakan kejayaan Luqman sentiasa memberi semangat untuk Luqman,”  ujar Luqman.

Ibunya tersenyum lalu berkata, “Bukan ibu yang membawa kamu ke sini, Luqman. Kamu sendiri yang memilih untuk terus berjalan walaupun jalannya sukar”. Kini dia sedar, semua itu bukanlah cabaran yang sia-sia. Setiap kesusahan adalah guru yang mengajarnya tentang kesabaran dan ketabahan hati.

Kisah Luqman mengajar bahawa kejayaan bukan hanya tentang mencapai ke puncak begitu sahaja, tetapi tentang perjalanan yang dilalui untuk sampai ke menara gading bukanlah suatu perjalanan yang mudah. Setiap usaha kecil, setiap kegagalan dan setiap cabaran adalah batu loncatan yang membentuk seseorang untuk menjadi lebih kuat.

Impian tidak akan tercapai hanya dengan berharap dan angan-angan sahaja. Ia memerlukan usaha, kesabaran dan keyakinan yang tinggi. Walaupun langkah yang diambil kecil, jangan pernah meremehkannya kerana langkah kecil itulah yang akhirnya membawa seseorang menuju impian yang besar.