Cipta sejarah di pentas dunia

25 Jul 2026 - 10:54am

Oleh : Muhammad Khairulanwar Ali Rahman

Foto : Ihsan HYROX World Championships

 

BERTANDING di pentas dunia bukanlah sesuatu yang mudah apatah lagi bersaing dengan barisan atlet-atlet antarabangsa yang sudah setentunya memiliki tahap fizikal dan mental yang berbeza. Namun, semua itu tidak mustahil dengan berkat kegigihan dan disiplin yang tinggi ketika menjalani latihan. Awang Kamarul Ariffin bin Haji Abdul Ghaffar yang merupakan atlet Para Negara Brunei Darussalam (NBD) telah menempa nama di pentas dunia apabila muncul juara dalam HYROX World Championships in the Adaptive Men’s Visual Impairment Division yang diadakan di Stockholm, Sweden.

Dengan bantuan dan sokongan padu daripada Alim Roslan dari Jab Gym sebagai pelari pengiring, pencapaian bersejarah dan membanggakan ini bukan sahaja buat beliau, malah bagi arena sukan NBD, kerana ini membuktikan bahawa atlet negara mampu bersaing dengan atlet terbaik dunia meskipun berdepan cabaran penglihatan.

HYROX ialah pertandingan kecergasan yang menggabungkan larian sejauh lapan kilometer dengan lapan stesen latihan berintensiti tinggi, termasuk menolak dan menarik kereta luncur (sled), mendayung, membawa pemberat, lunges dengan beg pasir, wall balls serta beberapa cabaran fizikal lain. Format pertandingan ini menuntut tahap ketahanan fizikal, kekuatan mental dan strategi yang tinggi daripada setiap peserta.

Bagi atlet dalam kategori masalah penglihatan, kerjasama erat bersama pelari pengiring merupakan elemen yang amat penting. Pelari pengiring bukan sahaja membantu aspek navigasi sepanjang perlumbaan, malah memastikan atlet dapat mengekalkan rentak, keselamatan dan fokus ketika melalui setiap cabaran.

Awang Kamarul Ariffin berkecimpung dalam HYROX pada awal tahun 2025. Sebelum itu, beliau aktif dalam sukan CrossFit dan sedikit sebanyak asas kecergasan daripada CrossFit membantu beliau apabila beralih ke HYROX.

Perlumbaan pertama beliau ialah dalam Kategori Pro Doubles bersama rakan dari Malaysia. Pada masa itu, mereka cuma mahu mencuba dahulu dan merasai sendiri bagaimana suasana Pertandingan HYROX sebelum mengambil keputusan untuk bertanding secara solo.

Beliau juga mengongsikan mengenai perjalanan sehingga layak bertanding di HYROX World Championships, matlamat utamanya untuk menyertai HYROX hanyalah untuk menimba pengalaman dan menjadi lebih baik pada setiap perlumbaan. Beliau sentiasa cuba memperbaiki prestasi dan catatan masa peribadi dari satu perlumbaan ke perlumbaan yang lain. Beliau langsung tidak pernah menyasarkan untuk bertanding di HYROX World Championships.

“Jadi apabila saya menerima e-mel daripada HYROX World yang memaklumkan bahawa saya layak ke Kejohanan Dunia, saya benar-benar terkejut. Pada mulanya saya sendiri tidak percaya kerana saya langsung tidak menjangkakan perkara itu akan berlaku,” tambah beliau.

Beliau juga ingin menjunjung kasih Kehadapan Majlis Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri atas sokongan yang disalurkan melalui Jab Gym sehingga beliau berpeluang mewakili NBD di HYROX World Championships Stockholm.

Dari segi latihan dalam membuat persediaan sebelum bertanding di HYROX World Championships, beliau lebih fokus kepada bahagian larian kerana itu merupakan kelemahan beliau dalam HYROX. Jadi, beliau dan jurulatih menyesuaikan program latihan supaya benar-benar bersedia menghadapi pertandingan.

Sepanjang latihan itu juga, ia melibatkan latihan gabungan larian, kekuatan dan simulasi stesen-stesen HYROX. Selain itu, beliau juga memberi perhatian kepada proses pemulihan seperti fisioterapi, urutan sukan, rehat dan pemakanan supaya badan sentiasa berada dalam keadaan terbaik untuk latihan dan pertandingan.

Di samping persediaan latihan dari segi fizikal, persediaan dari segi mental juga sangat penting di mana beliau sentiasa mengingatkan diri supaya tidak terlalu memikirkan keputusan. Fokus hanyalah melakukan yang terbaik pada hari pertandingan. Di samping itu sentiasa berdoa dan yakin dengan segala usaha yang telah dilakukan sepanjang latihan.

Meskipun beliau sangat rapi dengan rutin latihan fizikal dan mental, beliau juga berdepan dengan cabaran kerana persediaan untuk menuju ke pertandingan sangat singkat iaitu kira-kira sebulan sahaja dan juga kos perjalanan ke Sweden sangat tinggi dan beliau pernah terfikir, ia mungkin mustahil untuk direalisasikan. Tetapi dengan sokongan terutama daripada isteri dan keluarga, tidak lupa juga jurulatih yang telah membimbing beliau dalam latihan, Alim Roslan dari Jab Gym selaku pelari pengiring saya serta para penaja, rakan-rakan latihan yang sentiasa membantu sepanjang persiapan. Kejayaan ini bukan hasil usaha seorang, tetapi hasil sokongan semua yang sentiasa percaya kepada beliau.

Dengan kejayaan bersejarah ini, Ia adalah hasil usaha dan doa semua yang berada di belakang beliau. Beliau berharap kejayaan ini dapat memberi inspirasi kepada lebih ramai orang, khususnya atlet-atlet di Brunei dan komuniti Orang Kelainan Upaya (OKU), bahawa dengan usaha, sokongan dan peluang yang diberikan, kita juga mampu bersaing di peringkat antarabangsa serta mengharumkan nama negara.