10 maut, 64 cedera dalam letupan bahan piroteknik di Mexico Tengah

7 Sep 2026 - 8:17am

MEXICO CITY, 7 Sept. - Sekurang-kurangnya 10 orang terbunuh dan 64 lagi cedera selepas bahan piroteknik yang disimpan meletup pada malam Sabtu semasa sambutan perayaan Santo di Temascalcingo, State of  Mexico (di bahagian tengah negara Mexico), menurut pengesahan kerajaan negeri pada Ahad,  lapor Xinhua.

Kejadian berlaku kira-kira 9.30 malam waktu tempatan pada Sabtu (0330 GMT Ahad) di sebuah gereja, menurut kenyataan kerajaan negeri. Letupan tersebut menyebabkan sebahagian bumbung gereja dan dinding berhampiran runtuh, mengakibatkan beberapa orang tertimbus di bawah runtuhan.

Lapan daripada mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala mereka yang cedera dikejarkan ke hospital berhampiran kawasan perbandaran itu, menurut laporan. Anggota perlindungan awam, tentera dan polis negeri bertindak balas terhadap kecemasan itu serta mengaktifkan protokol keselamatan.

Institut Piroteknik State of Mexico telah memeriksa lokasi kejadian bagi mengesan bahan letupan aktif dan menyarankan  agar pakar meleraikan serta mematikan bahan terbabit  bagi mengurangkan risiko. - ©BERNAMA