16 tentera terbunuh, 23 cedera dalam serangan pengganas di barat Niger

20 Jul 2026 - 11:27am

NIAMEY (NIGER), 20 Julai. - Sekurang-kurangnya 16 tentera Niger maut dan 23 lagi cedera selepas Pasukan Pertahanan dan Keselamatan diserang pengganas di kawasan Tera, barat negara itu, lapor Xinhua.

Serangan berlaku di wilayah Tillabery, berhampiran sempadan Mali dan Burkina Faso, menurut laporan Agensi Akhbar Niger pada Ahad.

Laporan yang memetik kenyataan Kementerian Pertahanan Niger itu menyebut bahawa 15 pengganas terbunuh, lima motosikal dirampas manakala empat lagi dimusnahkan.

“Tindak balas pantas Pasukan Pertahanan dan Keselamatan dengan sokongan aset udara berjaya memaksa pihak musuh berundur.

“Operasi mencari, membersihkan kawasan dan memperkukuh keselamatan masih diteruskan di kawasan berkenaan,” menurut kenyataan itu. - ©BERNAMA