PARIS, 22 Okt. - Hujan lebat di selatan Perancis mengakibatkan banjir besar dan sekurang-kurangnya tiga orang maut selain ribuan rumah terputus bekalan elektrik, lapor agensi berita Jerman dpa.
Menurut kerajaan wilayah pada Rabu, ribut telah meningkatkan paras air kepada paras "belum pernah berlaku sebelum ini" dan tiga orang maut serta seorang cedera.
Akhbar La Provence, memetik pihak berkuasa, melaporkan seorang wanita berusia 86 tahun dan seorang wanita berusia 26 tahun ditemukan lemas di bilik bawah tanah di Lançon-Provence. Selain itu, seorang lelaki berusia 75 tahun maut dalam ribut di Saint-Mitre-les-Remparts.
Kerajaan wilayah memaklumkan kira-kira 250 orang di Arles dan Saint-Martin-de-Crau ditempatkan di pusat pemindahan. Kerosakan material yang ketara berlaku dan jalan raya serta laluan kereta api terhalang.
Talian elektrik dan telefon juga terputus, menurut pihak berkuasa. Sistem ribut Adam itu sebelum ini menyebabkan banjir teruk di timur Sepanyol, mengakibatkan sekurang-kurangnya lima orang terkorban. - ©BERNAMA